Monday, October 10, 2011

Julia jadi ratu jahat

TAK BIASA...kerap meminta maaf kepada Lily selepas bersikap kejam terhadap pelakon itu dalam set penggambaran.
TAK BIASA...kerap meminta maaf kepada Lily selepas bersikap kejam terhadap pelakon itu dalam set penggambaran.
ADAPTASI...filem bakal ditayangkan pada Mac tahun depan ini sudah diubah menjadi lebih hebat.
ADAPTASI...filem bakal ditayangkan pada Mac tahun depan ini sudah diubah menjadi lebih hebat.

DENGAN filem seperti Pretty Woman, Notting Hill dan My Best Friend’s Wedding berada dalam genggamannya, Julia Roberts berjaya mencipta nama sebagai ratu genre komedi romantik.

Bagaimanapun, kini aktres berusia 43 tahun itu mencuba sesuatu yang berbeza dalam filem Snow White apabila dia muncul membawakan watak ratu jahat.

Dalam satu babak filem yang belum diputuskan tajuknya itu dan dijangka ditayangkan pada Mac tahun depan, Julia kelihatan bengis ketika memandang ke arah kamera.

Dalam salah satu adegan pula, aktres itu dilihat memakai gaun klasik merah putih dipadankan dengan hiasan di kepala sebelum menukar pakaian berwarna keemasan untuk adegan seterusnya dalam filem adaptasi kisah dongeng arahan Tarsem Singh itu.


Filem berkenaan turut dibintangi anak perempuan penyanyi Phil Collins, Lily Collins yang mencipta nama dalam industri perfileman selepas berlakon di samping Taylor Lautner dalam filem seram Abduction. Lily, 22, berkata, peminat belum bersedia untuk menerima lakonan watak jahat dipegang Julia dalam filem itu.


Lily berkata: “Julia membawakan watak jahat di luar jangkaan orang ramai. Semua orang sukakan senyuman dan hilai tawa Julia. Dia masih mengekalkannya tetapi dengan cara yang menakutkan hingga anda tidak tahu sama ada anda akan menyukai atau membencinya.

“Dia sangat bijak dan itu satu penghargaan buatnya. Dia juga seorang yang sangat baik hati dan ada kelas.”

Lily yang memegang watak utama dalam filem yang turut dibintangi Nathan Lane sebagai Brighton, pembantu ratu jahat, berkata, Julia berusaha keras untuk kelihatan kejam dalam set penggambaran.

“Dia agak keras terhadap saya. Dalam satu adegan, dia menarik rambut saya dengan kuat sekali hingga beberapa helai daripadanya gugur.
“Namun, penggambaran tetap berjalan dan selepas selesai, dia mula meminta maaf berulang kali.”

Sementara itu, Lily berkata, melakonkan watak Snow White bagaikan impian menjadi kenyataan buatnya, terutama apabila dia dapat memegang watak utama selepas hanya mampu membawa watak sokongan dalam filem The Blind Side dan Abduction, sebelum ini.

“Ia bagaikan impian menjadi nyata. Saya cubit diri sendiri setiap hari. Saya rasa macam orang gila dan saya sukakan setiap detik sepanjang penggambaran berlangsung.

“Ia pelik kerana anda menjadi watak utama dalam kisah itu.

“Bagaimanapun, dapat bekerja bersama pelakon seperti Julia dan Lane...dapat berada dekat dengan mereka dan berlakon dalam filem bersama-sama mereka adalah satu penghargaan buat saya.”

Dia berkata, filem 3D itu adalah berita gembira buat peminat apabila ia ditayangkan di panggung wayang tahun depan.

“Anda boleh menjangkakan sesuatu yang di luar jangkaan. Anda boleh menjangkakan pakaian, rambut dan mekap yang hebat. Pada dasarnya, apa yang anda jangkakan dalam kisah dongeng semuanya ada dalam filem ini tetapi ia bukan sekadar cerita Snow White biasa. Ia sudah diubah menjadi kisah yang hebat.

“Saya akan menjadi wirawati, jadi saya sudah berlatih bertarung menggunakan pedang. Saya sudah berlatih selama empat bulan, jadi saya sudah boleh menyerang balas pihak lawan. Ia memang menyeronokkan.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: