Tuesday, October 18, 2011

Jualan gudang acara tahunan


PENGUNJUNG boleh mendapatkan banyak judul buku kegemarandan keperluan akademik anak-anak mereka pada harga istimewa.


BAGI ibu bapa yang inginkan bahan bacaan untuk anak-anak, penggemar novel sastera dan umum, jangan lepaskan peluang ke jualan buku dan majalah Kumpulan Utusan bagi mendapatkan pelbagai koleksi dan bahan bacaan bermutu yang dijual.

Melalui anak syarikatnya, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) dengan kerjasama Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) sekali lagi akan menganjurkan jualan gudang produk terbitan masing-masing seperti buku dan majalah.

Jualan ini akan diadakan bermula 21 hingga 30 Oktober ini bertempat di pejabat UP&D di No. 1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, 56100 Cheras, Kuala Lumpur. Jualan bermula dari pukul 10 pagi hingga pukul 6 petang.

Menurut Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, acara jualan gudang itu merupakan aktiviti tahunan yang telah dianjurkan sejak empat tahun lalu. Kebiasaannya ia diadakan pada awal atau akhir tahun.

"Ini merupakan salah satu inisiatif UP&D untuk menawarkan harga istimewa kepada para pelanggan dan komuniti sekitar bagi mengenali produk-produk kami dan produk Kumpulan Utusan," ujarnya.

Budaya membaca

Di samping itu, melalui penganjuran acara jualan gudang, diharap semua masyarakat dapat mengambil peluang untuk mendapatkan bahan bacaan bermutu dengan harga yang lebih murah.

"Tujuan utama diadakan jualan ini adalah untuk menggalakkan budaya dan minat membaca agar masyarakat senang untuk memiliki dan mendapatkan sumber ilmu berkualiti.

"Jualan ini juga meningkatkan promosi dan kesedaran masyarakat berhubung dengan akhbar, majalah dan buku Kumpulan Utusan di kawasan Kuala Lumpur," ujar Hairi.

Jualan gudang itu juga diadakan bagi menghargai setiap peminat buku tempatan dengan memberikan peluang keemasan untuk mereka memiliki buku pada harga yang lebih murah daripada harga asal.


SELAIN secara tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan untuk pembelian RM50 ke atas.


Buku-buku yang dijual pada jualan gudang tersebut merangkumi lebih 4,000 judul dalam pelbagai siri seperti motivasi, keluarga, kewanitaan, masakan, fesyen, novel, kanak-kanak dan juga buku akademik untuk tadika, sekolah dan universiti.

Produk terbitan UKSB pula merangkumi majalah Al-Islam, Hai, Harmoni, Kawan, Mangga, Mastika, Pemikir, Saji, URTV, Wanita, Infiniti dan iSihat.

Pengunjung yang melanggan majalah untuk satu tahun pula bakal mendapat hadiah percuma. Selain dari majalah, buku keluaran UKSB seperti Mastika Baitullah, Mastika Cerita Dari Mekah, Insaf, Direktori Perkahwinan, Koleksi Saji turut dijual.

Buku-buku terbitan Cambridge juga turut dijual pada harga istimewa sepanjang 10 hari jualan gudang ini diadakan.

Antara buku-buku yang bakal menanti pengunjung adalah dari kategori Secondary Materials, Adult and Young Adult Courses, Cambridge English Readers dan Teacher Resource.

Tambah Hairi, sempena jualan gudang tersebut, pihak penganjur menawarkan diskaun sehingga 70 peratus ke atas tajuk-tajuk terpilih. Bagi kemudahan pengunjung, selain penjualan tunai, pembayaran melalui kad kredit juga disediakan untuk pembelian RM50 ke atas.

"Saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai termasuk pelajar sekolah, kolej, universiti, para guru dan ibu bapa serta masyarakat di luar sana untuk meluangkan masa menghadiri jualan gudang ini. Pihak pentadbiran sekolah dan pustakawan turut dipelawa untuk melakukan pembelian secara pukal," ujar Hairi.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan jualan gudang ini, boleh menghubungi pejabat UP&D di talian 03-9285 6577.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: