Thursday, October 13, 2011

JPJ diminta pantau lori muatan berat

PEMANDU lori muatan berat didakwa memandu melebihi had laju ketika melalui jalan pintasan Kuantan-Pelabuhan.
PEMANDU lori muatan berat didakwa memandu melebihi had laju ketika melalui jalan pintasan Kuantan-Pelabuhan.
Pemandu didakwa kerap memecut di jalan pintasan Kuantan-Pelabuhan

KUANTAN: Gelagat pemandu lori memecut laju terutama di jalan pintasan Kuantan-Pelabuhan bukan saja membahayakan keselamatan pengguna tetapi menimbulkan kebimbangan jika ia tidak dibendung pihak berkuasa.
Keghairahan perlombongan bijih besi sejak kebelakangan ini menyebabkan banyak lori mengangkut tanah mengandungi bijih besi berulang-alik menggunakan laluan itu untuk ke Pelabuhan Kuantan.
Saya melalui jalan itu untuk ke tempat kerja di bandar Kuantan tetapi kehadiran lori yang dipandu seperti berlumba membahayakan pengguna lain, terutama penunggang motosikal. - Khairulmizan Yahya, Pekerja swasta
Kebanyakan lori terbabit mengangkut muatan bijih besi dari sekitar Kuantan, termasuk Maran, Muadzam, Rompin, Jerantut dan Raub menggunakan jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan hampir setiap hari.

Apa yang membimbangkan ialah sesetengah pemandu lori terbabit memandu terlalu laju dan melebihi had laju dibenarkan.

Pekerja swasta, Khairulmizan Yahya, 28, berkata gelagat pemandu lori terbabit boleh mengancam keselamatan pengguna lain.

"Saya sering menggunakan jalan ini untuk ke tempat kerja di bandar Kuantan tetapi kehadiran lori berkenaan yang dipandu laju seperti berlumba boleh membahayakan pengguna lain, terutama pemandu kenderaan kecil termasuk penunggang motosikal.
"Saya bimbang jika keadaan ini tidak dibendung, lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan dan sukar dikawal lagi," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan pemandu lori mematuhi peraturan dan memandu mengikut had kelajuan.

Beliau berpendapat pihak berkuasa perlu mengehadkan waktu perjalanan lori terbabit, terutama pada waktu puncak, iaitu pada waktu pagi ketika orang ramai hendak ke pejabat dan pada waktu petang dan ketika pulang.

Penduduk, Ahmad Salehan Musa, 38, berkata beliau juga bimbang dengan keselamatan murid sekolah yang berbasikal ke sekolah pada waktu pagi dan petang.

Beliau yang menghantar dan mengambil anaknya setiap hari di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rangin berkata, cara pemanduan lori bermuatan berat itu amat membimbangkan kerana ia terlalu laju.

"Mereka seperti tidak mengendahkan keselamatan pengguna lain dan berlagak seperti raja jalan.

"Bayangkan apa yang akan berlaku jika lori berkenaan yang dipandu laju berselisih dengan murid yang berbasikal ke sekolah, apatah lagi pada musim hujan.

"Murid terbabit akan sentiasa terdedah kepada bahaya kemalangan," katanya.
Ahmad Salehan berkata, kemalangan maut boleh dielakkan jika pemandu lori terbabit bersikap lebih berhemah di jalan raya dan tidak mementingkan diri sendiri.

1 comment:

  1. Sokong 100%...pengguna jln raya yg laen dgn kenderaan kecil selalu dalam bahaya, tambah dengan pemandu lori yang tidak beretika, cilok sana sini mcm bawak kancil gayanya...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: