Saturday, October 15, 2011

Jentera 14 tempat duduk Chery


PAUL NG (kanan) bersama Pengerusi Chery Automobile Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Nik Ismail Mohamed sewaktu melancarkan Chery Transcom baru-baru ini.


SETELAH menanti sekian lama, Chery Automobile (Malaysia) Sdn. Bhd. (Chery Automobile Malaysia) akhirnya melancarkan model Chery Transcom. Menjadi satu-satunya jentera yang memiliki kapasiti 14 tempat duduk, ia pasti memberi saingan baharu dalam segmen bas mini dan van.

Berbeza dengan beberapa model van konvensional dalam pasaran, Transcom menawarkan keselesaan dan kemewahan kepada pemandu dan para penumpangnya. Malah, rekaan tempat duduknya mengambil kira idea posisi tempat duduk seperti yang ada di dalam sebuah kereta.

Paparan panel instrumennya mengaplikasikan konsep sama pada kenderaan pelbagai guna (MPV). Antaranya ialah stereng boleh laras serta butang-butang kawalan yang mudah dicapai tanpa memerlukan pemandu mengalihkan pandangan daripada jalan raya.

Transcom mengguna khidmat enjin Acteco 2.0 TCI dengan pengecas turbo dan transmisi manual lima kelajuan. Enjin tersebut berupaya menjana kuasa kuda maksimum 168hp @ 5,500rpm dengan tork maksimum 235Nm @ 4,000rpm.


TRANSCOM menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa untuk apa jua kegunaan.


Enjin yang mencapai piawaian Euro 4 dan diimport daripada China itu tidak berdepan masalah dengan diesel Euro 2M di negara ini. Penggunaan bahan apinya pula hanya sebanyak 10.9 liter bagi setiap 100 kilometer. Ciri-ciri keselamatan tidak diabaikan. Model itu dilengkapi dengan sistem brek antigelincir dan beg udara.

Ketua Pegawai Eksekutif Chery Automobile Malaysia, Paul Ng berkata, jentera besar itu amat versatil untuk pemilik-pemilik perniagaan. Dengan kabin yang luas dan bilangan kerusi yang banyak, ia juga sesuai untuk mereka yang berkeluarga besar.

“Buat masa ini, sebanyak 50 unit tempahan sudah diterima. Kami berhasrat menjual kira-kira 800 buah Transcom pada tahun hadapan,” katanya selepas melancarkan model tersebut di Selangor baru-baru ini.

Harga jualan Transcom bermula serendah RM89,000 seunit. Jaminan diberikan pula berbeza mengikut jenis kegunaan. Maklumat lanjut, sila hubungi talian bebas tol: 1800-888-198.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: