Tuesday, October 11, 2011

Jaminan RM300 juta

Fazlur Rahman
Fazlur Rahman

SYARIKAT Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dan diperbadankan pada 2007 terus komited untuk membantu lebih ramai golongan yang tidak berpendapatan tetap membeli rumah kediaman apabila menyasar untuk meningkatkan jumlah jaminannya kepada RM300 juta pada 2012.

Pengarah Urusan Prokhas merangkap Pegawai Utama SJKP, Fazlur Rahman berkata, pihaknya yakin dapat mencapai jumlah yang disasarkan terutama disokong dengan promosi yang dijalankan sepanjang tahun.


“Cadangan penubuhan SJKP ini timbul selepas melihat keperluan untuk membantu mereka yang tiada pendapatan tetap seperti peniaga kecil, pasar malam, pengusaha kedai makan, pemandu teksi, petani, nelayan dan mereka yang bekerja sendiri untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan membeli rumah.

“Secara umumnya golongan ini tidak mempunyai dokumen bukti sumber dan jumlah pendapatan bulanan sebagaimana yang dikehendaki pihak bank, tetapi mereka mampu membuat pembayaran bulanan yang ditetapkan. Namun begitu, SJKP tidak mengeluarkan sebarang pinjaman perumahan sebaliknya menjamin bank yang mengeluarkan pinjaman perumahan,” katanya kepada Bisnes Metro.


Menurutnya, penubuhan SJKP tidak berunsur kepada keuntungan, tetapi lebih kepada memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan membantu kerajaan mencapai objektif untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.


Fazlur berkata, SJKP juga melaksanakan penambahbaikan skim jaminan yang mana pihaknya membenarkan jaminan kredit perumahan dikeluarkan kepada golongan yang berpendapatan tetap tertakluk kepada had maksimum dana sebanyak RM200 juta dan ia dijangka dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah mendapatkan pinjaman perumahan yang diperlukan bagi pembelian rumah pertama.

Beliau berkata, syarat utama kelayakan untuk memohon skim ini adalah golongan bukan berpendapatan tetap, warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pembelian rumah pertama, kos rendah dan sederhana.


“Setakat 29 September 2011, SJKP meluluskan sebanyak 2,875 permohonan jaminan kredit perumahan berjumlah melebihi RM134.98 juta termasuk Sabah dan Sarawak. Malah, kami mengalu-alukan mereka yang layak untuk menyertai skim ini tidak mengira mereka membeli rumah di bandar mahupun di luar bandar selagi ia untuk tujuan kediaman sendiri.

“Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat orang ramai boleh melayari laman web www.sjkp.com.my atau hubungi 03-20968989,” katanya.


Terdapat 15 institusi kewangan turut serta dalam SJKP, antaranya Bank Simpanan Nasional, Bank Islam, Maybank, Alliance Bank, Hong Leong Islamic Bank, Bank Rakyat, Ambank, Eon Bank dan Affin Bank.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: