Sunday, October 2, 2011

Hobi membentuk personaliti


BILL Clinton menunjukkan kebolehannya bermain saksofon yang menghiburkan bekas pemimpin Rusia, Boris Yeltsin.


MEMPUNYAI hobi adalah satu kemestian bagi manusia. Namun hobi itu tidak semestinya berkekalan. Ada yang sesuai ketika zaman muda tetapi perlu ditukar bersesuaian dengan usia dan tahap kesihatan.

Begitu juga apabila ia melibatkan pemimpin. Mereka juga sama seperti kita, manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan.

Walaupun sibuk dengan tugas harian namun mereka masih memperuntukkan sedikit masa untuk melakukan hobi-hobi yang diminati.

Pelik

Ada di antara pemimpin ini mempunyai hobi yang biasa seperti kita semua. Tetapi terdapat juga mereka yang agak pelik dan kelihatan seperti tidak masuk akal.

Ada pandangan yang menyatakan bahawa melalui hobi seseorang kita boleh menilai kecenderungan, tindakan malah personaliti mereka. Walaupun tidak ada penjelasan yang kukuh mengenai perkara ini namun ia sedikit sebanyak menggambarkan siapa diri mereka yang sebenar.

Sebagai contoh bagi mereka yang mempunyai hobi yang lasak seperti mendaki gunung, bersukan dan lain-lain, sedikit sebanyak kecenderungan dan personaliti mereka ini berbeza dengan mereka yang memilih hobi seperti mendengar atau bermain muzik, melukis dan sebagainya.

Namun ia tidaklah sebegitu ketara kerana akhirnya manusia tetap sama tidak kira mereka berbeza mahupun berlainan dari sudut apa sekalipun.

Namun bagi mereka yang berfikir, bertindak, dan berkelakuan atas dasar dan kepentingan politik maka adakalanya hobi mereka itu digunakan atas tujuan menonjolkan personaliti dan populariti diri.

Sebagai contoh Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama begitu meminati sukan bola keranjang maka dengan itu sepanjang kempen pilihan raya presiden beliau banyak melibatkan diri dalam permainan ini sama ada dengan rakyat biasa, pelajar mahupun anggota tentera.

Minat beliau yang mendalam terhadap sukan ini bukan sesuatu yang baru malah Obama pernah mewakili sekolah dan universiti.

Korea Utara

Hobi ini bukanlah sesuatu yang asing di AS kerana ramai lagi pemimpin negara itu yang berkongsi minat yang sama dengan.

Malah seteru utama AS, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il juga berkongsi minat yang sama. Malah pemain bola keranjang yang paling diminati beliau adalah Michael Jordan.

Jong-il dikatakan memiliki hampir kesemua rakaman video ketika Jordan mewakili pasukan Chicago Bulls.

Malah beliau dikatakan begitu berazam untuk menjadikan Korea Utara sebagai sebuah negara berpengaruh dalam sukan bola keranjang dengan membina banyak gelanggang selain membawa jurulatih asing untuk mengajar mengenai sukan itu.

Tetapi tidak diketahui kebenarannya, sebarang kesilapan ketika bermain sukan ini dalam perlawanan penting boleh membawa padah. Ini kerana hukumannya terlalu zalim seperti bantuan makanan akan disekat atau keluarga mereka akan menjadi makanan serigala.

Osama Laden

Seorang lagi seteru utama AS, Osama bin Laden pula begitu menggemari sukan bola tampar walaupun permainan ini dipelopori dan dikuasai oleh negara AS dan Barat.

Menurut seorang bekas pegawai peribadinya, Nasser al-Bahri, Osama gemar bermain sukan ini ketika bersama keluarga dan anak-anaknya selain hobi utamanya, menunggang kuda.

Osama yang memiliki ketinggian lebih enam kaki dilihat oleh para pengkritik Barat sebagai pelik kerana meminati sukan yang didominasi mereka.

Namun menurut Nasser, Osama kelihatan begitu gembira ketika bermain sukan ini sambil dikelilingi anak-anaknya yang digambarkannya sebagai sukar dikawal.

Mungkin ini adalah cara bagi Osama merehatkan diri daripada tekanan walaupun kita tertanya-tanya kenapa beliau memilih sukan bola tampar.

Walt Disney

Berdasarkan sejarah, Adolf Hitler digambarkan sebagai seorang pemimpin yang kejam dan ganas.

Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau mempunyai bakat melukis malah dikatakan Hitler mungkin memilih melukis sebagai kerjaya jika tidak menjadi pemimpin Jerman.

Bagaimanapun agak mengejutkan apabila mengetahui beliau merupakan peminat tegar filem kartun keluaran Walt Disney, Snow White and Seven Dwarf.

Bukan sahaja Hitler memiliki salinan filem itu yang dikeluarkan pada 1937 malah menganggap filem itu sebagai terbaik sepanjang zaman. Malah dalam satu pertemuan baru di Muzium Norway pada 2008 melibatkan beberapa lukisan watak kartun dalam filem Snow White iaitu Bashful and Doc serta watak Pinocchio, ia dipercayai dilukis oleh Hitler berdasarkan tanda nama, A.H, yang tertera di bawahnya.

Perkara pertama yang menjadi kebimbangan di kalangan ahli politik Jepun sebaik sahaja Junichiro Koizumi dilantik sebagai Perdana Menteri pada April 2001 adalah ditakuti beliau akan melakukan sesuatu yang pelik.

Peminat Elvis

Beliau sememangnya dikenali dengan idea-idea dan tindakan pelik, mengejutkan semua pihak apabila melancarkan kegilaannya yang paling utama, kumpulan 25 lagu-lagu legenda Elvis Presley dengan gambar super impose Koizumi bersama legenda itu sebagai kulit album.

Adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila melihat tiba-tiba Koizumi yang berkongsi tarikh lahir yang sama dengan idolanya iaitu pada lapan Januari, menari rancak seperti Elvis yang beliau sifatkan sebagai artis terbaik pernah dilahirkan.

Malah beliau pernah secara mengejut mengajak bekas Menteri Luar Australia, Alexander Downer menyanyi karaoke lagu I Can't Help Falling in Love With You. Dan kejadian itu bukanlah yang terakhir dilakukan bersama pemimpin-pemimpin dunia lain.

Kemiskinan

Bagi kebanyakan orang dengan memasuki tentera dilihat sebagai usaha untuk mendisiplinkan diri serta berjuang untuk negara.

Tetapi tidak bagi pemimpin kontroversi Venezuela, Hugo Chavez yang menyertai tentera sebagai alasan untuk menjadi bintang bola lisut serta melarikan diri daripada kemiskinan dan akhirnya kekal menjadi hobi utama.

Chavez berkata, tujuan beliau menyertai tentera untuk membuktikan anak miskin dari kampung boleh menjadi bintang bola lisut dan bermain untuk kelab ternama, San Francisco Giants.

Namun kemudian perkara sebaliknya berlaku apabila beliau menjadi tentera yang bersemangat tinggi dengan cita-cita politik besar daripada melakukan home run.

Malah Chavez juga pernah menganjurkan serta menjadi kapten pasukan dalam perlawanan persahabatan bersama seorang lagi peminat sukan bola lisut yang juga kawan akrabnya, Fidel Castro.

Muzik

Bidang muzik merupakan antara hobi yang paling dikongsi ramai. Mungkin kerana perkembangan muzik ini tidak pernah padam, ada saja lagu dan rentak muzik terbaru menjadikan ia turut mendapat perhatian para pemimpin.

Antara mereka yang menggilai muzik malah mampu bermain beberapa peralatan muzik adalah Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan bekas Presiden AS, Bill Clinton. Kesemua mereka mampu bermain beberapa peralatan muzik selain sering berkongsi minat mereka bersama orang ramai, juga atas tujuan politik.

Berlusconi yang lebih dikenali sebagai playboy bilionair daripada kemampuan memimpin berkebolehan bermain piano, gitar dan double bass.

Manakala Blair pula sangat dikenali sebagai pemain gitar yang hebat dan pernah menganggotai kumpulan Ugly Rumours selain beberapa kali membuat persembahan semasa memegang jawatan perdana menteri.

Berlainan pula bagi Clinton yang berbakat dalam memainkan saksofon dan kerana kemunculannya dalam program televisyen The Arsenio Hall sambil memainkan alat muzik berkenaan telah menaikkan populariti beliau sekaligus membolehkannya memenangi Pilihan raya Presiden pada 1992.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: