ROSLAN menunjukkan Jalan Seri Bandi ke simpang Jalan Jerangau-Jabor yang perlu diturap semula.
CHUKAI: Orang ramai yang menggunakan Jalan Seri Bandi ke persimpangan Jalan Jerangau-Jabor, meminta pihak berkuasa berkaitan membaiki laluan sepanjang dua kilometer di kawasan itu yang rosak teruk sejak dua tahun lalu kerana keadaannya berbahaya kepada pengguna.
Sebelum ada nyawa melayang, saya merayu kontraktor terbabit menyelenggara dan membaik pulih jalan berkenaan untuk kemudahan rakyat. - Mohd Sabri Ali, Penduduk
Penduduk Seri Bandi, Roslan Omar, 46, berkata hampir setiap hari dia melalui jalan itu ke tempat kerja dan sentiasa bimbang dengan keselamatannya tetapi terpaksa melaluinya kerana tiada pilihan lain."Pihak berkuasa pernah menghantar kontraktor untuk kerja penyelenggaraan dengan menampal berpuluh-puluh lubang tetapi tidak tahan lama kerana ia rosak semula akibat banyak kenderaan berat menggunakan laluan berkenaan.
"Jadi, kerosakan jalan itu sebenarnya tidak boleh sekadar ditampal saja, sebaliknya ia perlu ditarah dan diturap semula secara keseluruhan," katanya.
Pengusaha ladang, Zakaria Salleh, 50, berkata pengalaman melalui jalan itu sangat merimaskan tetapi penduduk tiada pilihan kerana ia satu-satunya laluan mudah mereka ke kawasan luar menerusi Jalan Jerangau-Jabor, sama ada ke Kuantan atau Kuala Terengganu.
"Saya amat gerun melalui jalan itu untuk ke destinasi dituju, tetapi terpaksa menggunakannya kerana tiada pilihan lain. Justeru, saya berharap pihak berkaitan menyelenggara jalan itu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Sabri Ali, 46, berkata dia sering melalui jalan itu untuk menziarah ibunya di Kampung Sungai Timah walaupun sedar terpaksa bersusah payah dan terdedah risiko bahaya setiap kali sampai di situ.
"Banyak kenderaan termasuk lori yang tidak teragak-agak meredah laluan bertentangan untuk mengelak lubang atas jalan walaupun tahu pengguna lain termasuk penunggang motosikal ada di laluan berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, bagi mengelak kejadian tidak diingini, dia terpaksa mengelak hingga ke tepi longkang dan setakat ini banyak kenderaan terbabas di situ walaupun belum ada yang meragut nyawa.
"Sebelum ada nyawa melayang, saya merayu kontraktor terbabit menyelenggara dan membaik pulih jalan ini untuk kemudahan rakyat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: