Tuesday, October 18, 2011

Falsafah seni Hero Malaysia

Berbicara mengenai insan bernama Rosyam Nor, tiada perkara lain yang akan terlintas di fikiran melainkan bakat lakonannya. Sepanjang lebih 20 tahun bergelar anak seni, pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin ini sudah tidak asing lagi dalam pentas lakonan. Baik di layar lebar mahupun di kaca televisyen.

Mungkin ramai di antara kita masih tidak dapat melupakan karakter lelaki botak ganas dan jahat menerusi filem Castello. Filem itu antara paling memberi kesan bukan sahaja pada dirinya malah penonton pada ketika itu.

Berjaya dengan watak antagonis, Rosyam sebenarnya antara pelakon versatil. Berilah apa jua bentuk watak, dia pasti tidak menghampakan. Terbukti apabila banyak hati wanita berjaya ‘dicairkan’ menerusi watak lelaki romantik sering dipegangnya menerusi puluhan drama, misalnya Iris, Gelora di Hati Sara dan Trilogi Cinta.

Tatkala disuakan kepadanya gelaran ikon pelakon masa kini, pemenang Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali ini tidak sedikit pun berbangga diri.

Sebaliknya, dengan nada berhemah Rosyam berkata, gelaran ikon perlu dilihat daripada perspektif lebih meluas.

“Kebanyakan daripada kita suka menjadikan orang lain berjaya sebagai ikon, idola dan pelbagai gelaran seumpamanya sebagai motivasi.

“Sedangkan adalah lebih baik sekiranya mereka mengkaji kepayahan dan cabaran individu itu sebelum mengecap kejayaan. Dengan itu, gelaran ikon dan sebagainya akan lebih bermakna,” katanya.


Bermula dari bawah

Melihatkan portfolionya dalam bidang seni, Rosyam sebenarnya beruntung kerana diberi peluang untuk terus terjun kepada industri filem.

Melalui pertolongan bapa saudara nya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, Rosyam berjaya memegang watak pembantu dalam filem Gila-Gila Remaja di samping hero Faizal Hussein.

Tidak terus berharap, Rosyam mengorak langkah lebih luas apabila ditawarkan pula dalam filem Sayang arahan Pansha, Perawan Malam (Aziz Sattar) dan Kanta Serigala (Hussein Abu Hassan).

Bagaimanapun, percaturan Rosyam seakan tidak menjadi kerana lakonannya dalam beberapa buah filem tersebut gagal menaikkan namanya sebagai pelakon. Menyedari ilmunya dalam bidang lakonan masih cetek, Rosyam kemudiannya beralih ke kerja di belakang tabir pula.

“Bukan membawa diri atau merajuk, sebaliknya saya merasakan dengan menjadi krew adalah cara terbaik untuk belajar lebih mendalam mengenai selok-belok filem.

“Sepanjang bekerja sebagai pengurus produksi dan penerbit eksekutif, banyak yang saya belajar. Salah satunya yang masih saya ingat hingga hari ini, saya pernah mencari lokasi sesuai untuk penggambaran saya juga menguruskan kehadiran artis dan menguruskan kerja-kerja pra produksi.

"Dari situ, saya tahu bagaimana kepayahan orang di belakang tabir dan menyedarinya, sehingga kini saya amat menitik beratkan soal disiplin dalam lakonan. Selain itu, saya juga memperoleh ilmu lain seperti menjiwai sesuatu watak berdasarkan melihat pelakon-pelakon ketika di lokasi,” katanya yang mula berlakon seawal usianya 18 tahun.

Selama empat tahun terlibat sebagai krew produksi, bintang Rosyam kembali bersinar dalam bidang lakonan apabila menerima tawaran untuk menerajui filem Jimi Asmara, arahan pengarah tersohor Erma Fatima pada 1995. Biarpun hanya watak pembantu, lakonan Rosyam ternyata tidak menghampakan.

Setahun kemudian, Rosyam mendapat peranan utamanya sebagai hero. Mendapat kepercayaan pengarah, Pansha, rosyam digandingkan bersama pelakon Lydiawati untuk filem Suami, Isteri, dan... Filem yang pecah panggung itu meletakkan nama Rosyam sebaris dengan aktor popular ketika itu seperti Allahyarham Hani Mohsein, Nasir Bilal Khan, Azhar Sulaiman dan ramai lagi.

Sejak itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak menoleh lagi. Namanya terus mekar di kalangan penerbit dan pengarah untuk watak utama.


Dari pelakon ke penerbit

Tatkala langkahnya dalam bidang lakonan semakin menuju puncak, Rosyam mengambil keputusan untuk tampil dengan syarikat penerbitannya sendiri iaitu Suhan Movies & Trading (Suhan Movies). Biarpun banyak tawaran yang datang, namun Rosyam mahu seiring tidak hanya berlakon malah dalam masa sama dapat menerbitkan banyak drama berkualiti. Rosyam juga semakin selektif memilih watak.

“Saya menjadi penerbit bukan untuk membuktikan apa-apa, sebaliknya saya fikir saya perlu membuat sesuatu dalam bidang yang telah lama saya ceburi.

“Jika tidak menjadi penerbit, mungkin saya sudah dilupakan. Secara tidak langsung, sebagai penerbit saya dapat meneruskan kelangsungan dalam industri,” katanya.

Tidak melihat bayangan dirinya akan duduk di kerusi pengarah pula suatu hari nanti, Rosyam menyifatkan dia tiada bakat ke arah itu.

Kerana itu, dia lebih gemar memberi fokus untuk menerbitkan banyak lagi drama yang bermutu dan di terima penonton.

Tidak keterlaluan seandainya mengatakan percaturan Rosyam menjadi kerana kebanyakan drama terbitan Suhan Movies mendapat rating tinggi di setiap stesen-stesen tv.

Misalnya, drama Trilogi Cinta yang disiarkan di RTM mencecah 2 juta penonton sehingga diulang tayang di stesen berkenaan. Rosyam juga sudah boleh tersenyum lebar kerana drama Cinta Elysa lakonan Fasha Sandha dan Johan A’sari mendapat sambutan hebat penonton.

“Prinsip saya senang sahaja, jangan syok sendiri kerana saya menerbitkan drama bukan untuk tontonan saya, tetapi untuk tontonan masyarakat.

“Dalam hal ini, saya beruntung kerana mempunyai pasukan yang mantap dan mempunyai misi sama iaitu menghasilkan yang terbaik,” katanya yang acap kali mendapatkan khidmat penulis skrip hebat, Sharifah Abu Salem.


Mahu gilap bakat baru


Selain terkenal sebagai antara produksi yang menghasilkan drama berkualiti, Suhan Movies kini melebarkan sayap menerbitkan program realiti pula.

Sebagai satu-satunya produksi yang menerbitkan program pencarian bakat iaitu Pilih Kasih (PK), Rosyam boleh berbangga apabila produknya itu bakal memasuki musim ketiga.

Mengakui idea untuk menerbitkan program itu tercetus kira-kira dua tahun lalu, namun niat Rosyam hanya satu, ingin mencungkil lebih banyak lagi bakat baru dalam persada seni tempatan.

Bak kata orang, ilmu yang bagus seharusnya dikongsi bersama. Melalui program itu juga, Rosyam mencurahkan segala ilmu dimiliki kepada para peserta yang juga pelapis dunia lakonan semasa.

Bagi pelakon berpengalaman seperti Rosyam, ini adalah usahanya bagi memastikan industri lakonan tidak ketandusan pelakon berbakat.

“Bukan mudah sebenarnya mencari pelakon yang bagus, kerana mereka umpama mutiara dalam laut.

“Sebagai pelakon lama, saya mengambil inisiatif menyediakan platform untuk mereka mencipta nama. Selebihnya, terpulang kepada usaha mereka sendiri,” ujarnya mengenai relevan PK diperkenalkan.

Dalam soal pemilihan peserta, Rosyam tidak terkecuali mengamalkan ketelitian kerana dia mahu bakat yang dicungkilnya mempunyai pakej lengkap.

“Di awal kemunculan program ini, saya tidak terlalu memandang paras rupa sebaliknya lebih menekankan bakat dan kualiti lakonan.

“Namun, sebagai orang lama saya sedar bakat saja tidak akan menjadi. Jika diiringi penampilan menarik, mereka akan lebih mudah diterima,” katanya.

Pencarian peserta yang mempunyai bakat dan paras rupa menarik akan diadakan di beberapa tempat terpilih seluruh negara bermula 22 Oktober ini.

Ketika diajukan pertanyaan adakah dia berhasrat mahu melahirkan penggantinya melalui program itu, Rosyam punya jawapan lebih baik.

“Bukan hendak meninggi diri, sebaliknya Rosyam Nor adalah Rosyam Nor. Begitu juga dengan pelakon lain.

“Saya lebih suka jika pelakon baru dapat berdiri sebaris dengan saya, bukannya menjadi pengganti saya. Kerana itu mereka perlu mempunyai kekuatan dan identiti sendiri,” jelasnya yang menjadikan Tan Sri P Ramlee sebagai idola.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: