Jurey Rosli Lattif perlu beri penjelasan.
Hai tunda lagi? Sepatutnya apabila tarikh semakin dekat, persiapan lebih rancak. Tapi hendak ditunda pula? Apalah hendak jadi FFM ini, asyik nak tangguh saja. Kalau asyik nak ditunda, lebih baik tak ada langsung FFM. Tak adalah nanti masyarakat anggap FFM macam festival main-main pula.
Sibuk sungguh Dr Rais rupa-rupanya. Tapi mengikut kata penganjur, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sudah pun menyatakan persetujuan untuk menghadiri perasmian FFM24 pada 17 November.
Bagi Cik Normah, ada dua Timbalan Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), takkan salah seorang daripadanya tidak boleh hadir kalau Dr Rais ada urusan lain pada 19 November itu nanti. Kalaupun kedua-dua timbalan menteri pun sibuk, masih ada Ketua Setiausaha KPKK atau Timbalan Ketua Setiausaha (bahagian Kebudayaan). Sekurang-kurangnya, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) boleh juga menjadi wakil menteri di FFM24.
Bukanlah apa, Cik Normah yakin semua ahli jawatankuasa FFM24 sekarang sudah bertungkus lumus memastikan festival ini lancar. Karyawan filem seperti pengarah, penerbit, pelakon, pekerja filem dan sebagainya pasti sudah mengosongkan tarikh berkenaan semata-mata mahu memeriahkan FFM24. Publisiti dan hebahan mengenai FFM24 pada 19 November nanti sudah tersebar luas.
Begitu juga dengan stesen TV yang bakal menyiarkan siaran langsung FFM24. Lokasinya iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) juga sudah ditempah. Alih-alih hendak ditunda begitu saja. Isyyyh! Biar betul. Nanti konti semua lari Datuk Seri... Kos pun silap-silap meningkat. Datuk Seri memanglah tidak terasa kesannya, tetapi penganjur akan jadi haru biru dibuatnya.
Kalau betullah berita yang Cik Normah dengar, Cik Normah harap Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Jurey Rosli Latiff selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM24 dapatlah memberi penjelasan. Semua mesti nak dengar alasan dari Jurey kenapa hendak di tangguh? Adakah ia berpunca dari masalah dalaman? Tak sabar Cik Normah hendak mendengar dari mulut Jurey.
Kalau asyik tangguh sangat, lama-kelamaan penggiat filem pun muak dan bosan menunggunya. Sekarang pun masing-masing sudah tidak kisah FFM itu ada atau tidak, sama macam dengan Anugerah Seri Angkasa (ASA) apabila penggiat seni berasakan anugerah itu wujud atau tidak, dirasakan tiada apa-apa perbezaan pun. Kalau ada, adalah, kalau tidak ada, orang sudah tidak kisah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: