SERAMAI 40 orang kakitangan Brother turut turun padang untuk menyertai aktiviti membersihkan kawasan sekitar tempat pemuliharaan Orang Utan. |
DALAM usaha menyokong pemuliharaan hidupan liar terancam, Brother International (Malaysia) Sdn. Bhd. menghulurkan sumbangan wang tunai bernilai RM5,000 kepada Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok (SORC) di Sandakan, Sabah baru-baru ini.
Inisiatif syarikat peneraju dalam pembangunan dan pengeluaran teknologi alat percetakan, komunikasi, pelabelan, perindustrian dan mesin jahit peribadi itu adalah sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat Brother yang telah bermula sejak tahun 2005.
Orang Utan adalah antara hidupan liar yang kian terancam di Malaysia. Kebakaran hutan, pembalakan haram, serta pembangunan menyebabkan mereka kehilangan habitat semula jadi serta mengancam populasi mereka.
SORC adalah antara pusat pemuliharaan yang paling berjaya dalam melindungi makhluk primat tersebut. Ternyata spesies itu tidak mampu meneruskan kesinambungan generasinya yang diancam pembangunan yang melibatkan penggondolan hutan.
Justeru, sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu aktiviti pemuliharaan anak Orang Utan yang telah ditinggalkan, tercedera dan juga yang telah dibesarkan di pusat tersebut sejak kecil.
Pada masa yang sama, seramai 40 kakitangan daripada Brother International turut serta menjayakan program itu dengan membersihkan kawasan sekitar pusat pemuliharaan sambil belajar mengenai spesies unik itu.
Menurut Pengarah Urusan Brother International (Malaysia) Sdn. Bhd., Yoshiaki Otsuka, syarikat mereka sentiasa mencari inisiatif baharu untuk menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat serta kawasan sekitarnya dan SORC menjadi penerima sumbangan terkini.
"Program Tanggungjawab Sosial Brother pada tahun ini dilihat lebih aktif apabila sebanyak 27 rumah kebajikan dan perlindungan di zon selatan menerima sumbangan mesin jahit jenama Brother.
"Pada bulan Jun lalu pula, syarikat Brother telah memberi dana berjumlah RM25,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan sempena program Relay For Life 2011 di samping turut serta dalam aktiviti berjalan secara berganti-ganti selama 16 jam.
![]() |
| ORANG Utan di Sepilok akan dilatih hidup berdikari sebelum dilepaskan semula ke hutan. |
"Kini, kami menyokong aktiviti pemuliharaan hidupan liar yang terancam dengan membantu Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok. Semakin kami berjaya dalam syarikat, semakin besar jumlah penerima bantuan. Brother yakin ini adalah satu usaha murni yang patut diteruskan," kata Otsuka.
Latih Orang Utan berdikari
Sumbangan daripada Pihak Brother telah diterima oleh Pengurus Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sylvia Alsisto sewaktu majlis penyerahan cek yang diadakan baru-baru ini.
"Orang Utan sebenarnya memerlukan ruang yang luas untuk menyokong keperluan makanan mereka kerana cenderung kepada rangkaian makanan yang pelbagai dan berbeza-beza untuk memenuhi diet mereka.
"Pada masa yang sama, ruang habitat mereka juga perlu dipulihkan dan dilindungi supaya mereka tidak menjadi mangsa kepada haiwan pemangsa lain serta pemburu haram. Objektif kami adalah untuk membantu spesies unik ini, bermula dari anak Orang Utan yang ditinggalkan ibu, tersesat dan juga yang tercedera supaya ia dipulihkan dan boleh kembali ke habitat asal tanpa bergantung kepada kami lagi. Untuk mencapai matlamat ini, kami memberi mereka tempat tinggal, rawatan dan latihan yang sesuai," terang Sylvia lebih lanjut.
Tambah Sylvia, pihaknya telah menerima kemasukan beberapa ekor Orang Utan baharu ke pusat itu sejak beberapa tahun lalu dan ia menjadi sebab untuk meluaskan kawasan pusat pemuliharaan berkenaan. Oleh itu, sumbangan daripada pihak Brother tepat pada masanya dan amat dihargai.
Semasa lawatan amal ke Sepilok, 40 orang kakitangan Brother yang menyertai lawatan itu berkesempatan untuk menyaksikan Orang Utan menerima rawatan, diberi latihan kemahiran asas dan juga latihan untuk hidup sendiri sebelum ia bersedia untuk dilepaskan ke habitat asal di dalam hutan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: