Friday, October 14, 2011

Cungkil bakat saintis muda


PELAJAR SRK Sri Petaling melakukan beberapa uji kaji kimia sambil dibantu fasilitator BASF.


TANPA disedari bahan kimia banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita daripada makanan, bangunan yang kita huni sehinggalah produk kosmetik.

Bahkan, lampin bayi yang mampu menampung bahan buangan si comel dan perekat luka turut menggunakan teknologi kimia dalam melancarkan penggunaan produk berkenaan.

Dalam memberi pendedahan mengenai kepentingan bahan kimia terhadap kehidupan seharian, peneraju syarikat kimia dunia, BASF bakal menganjurkan BASF Kids’ Lab bermula dari 9 hingga 13 November ini di pusat beli-belah 1 Utama, Damansara, Petaling Jaya.

Program BASF Kids’ Lab mula dianjurkan sejak tahun 2006 lagi disasarkan kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman mengenai penggunaan asas kimia dalam kehidupan seharian.

Pengarah Urusan BASF Malaysia, Daniel Loh berkata, program berkenaan diadakan untuk menarik minat dan mencungkil bakat kanak-kanak terhadap kimia apabila mereka dapat merasai sendiri pengalaman menjalankan uji kaji makmal.

“Melalui program Kids’ Lab ini, para peserta dapat melakukan eksperimen ringkas berkaitan kehidupan seharian melalui empat stesen yang disediakan mengikut tema tertentu sambil dibantu oleh fasiliator terlatih BASF.

“Pada peringkat umur ini, peserta mampu menyerap pelbagai maklumat dan sentiasa mempunyai perasaan ingin tahu. Ia sekali gus dapat mendidik dan memberi pendedahan kepada mereka mengenai kimia,” katanya selepas melancarkan Bengkel Keajaiban Kimia BASF Kids’ Lab di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tahun Kimia Antarabangsa

Dalam majlis berkenaan seramai 20 pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sri Petaling, Petaling Jaya, Selangor turut merasai pengalaman menjalankan uji kaji kimia bersama fasiliator terlatih BASF.

Selaras sambutan Tahun Kimia Antarabangsa, Daniel menambah, penganjuran Kids’ Lab pada tahun ini lebih istimewa berbanding tahun sebelumnya apabila ia bakal diadakan di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, sebanyak tiga sesi akan diadakan setiap hari sepanjang program berkenaan berlangsung kelak dan penyertaan adalah berdasarkan konsep siapa cepat akan dapat menyertai eksperimen berkenaan.

“Sejak sembilan tahun lalu, lebih 200,000 kanak-kanak sudah menyertai program tersebut di peringkat Asia Pasifik. Kita menerima maklum balas positif daripada peserta dan ibu bapa,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Pusat Perkhidmatan BASF Asia Pasifik Sdn. Bhd., Lau Kin Pong, memberitahu program berkenaan diadakan setiap tahun dan merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) BASF.

“Kids’ Lab bakal menjadi landasan menguji kreativiti kanak-kanak ini walaupun pada peringkat ini mereka belum berpeluang membuat eksperimen kimia. Saya percaya dengan pendedahan awal melalui teknik pendidikan interaktif yang diterapkan dalam program ini ia dapat menyumbang dalam mencungkil bakat industri kimia,” katanya.

Sementara itu, salah seorang pelajar, Izzah Sakina Yaacob, 12, berkata, dia sangat seronok apabila dapat melakukan tiga eksperimen yang melibatkan penggunaan bahan kimia.

“Saya pernah melihat salah satu daripada eksperimen yang dilakukan ini di kaca televisyen. Ia amat membantu saya dalam memahami eksperimen berkenaan apabila dapat melakukannya sendiri langkah demi langkah,” ujarnya.

Bagi Phang Kin Weng, 12, pula, dengan melakukan eksperimen itu dia memahami kegunaan bahan kimia dalam kehidupan harian.

“Melalui eksperimen ini, saya dapat mengetahui kepentingan bahan kimia dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, lampin bayi turut menggunakan penyerap super untuk menyerap air yang banyak,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program berkenaan boleh melayari laman sosial Facebook, www.facebook.com/BASFMalaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: