|
PADA tahun 1979, siri televisyen Amerika Syarikat, The Dukes of Hazzard yang disiarkan di saluran CBS menjadi antara siri televisyen yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi. Menariknya, siri drama genre komedi yang dibintangi barisan pelakon Tom Wopat, John Schneider dan Catherine Bach itu bukan sekadar hiburan harian malah, mendorong para penonton berfesyen.
Gara-gara kekerapan pelakonnya menyarungkan kemeja bercorak kotak, jejaka tempatan di sana telah terpengaruh dan ‘berebut’ untuk memiliki kemeja fesyen tersebut.
Namun yang pasti, fesyen kemeja berkotak tidak hanya popular pada era 1970-an, sebaliknya ia dianggap fesyen sepanjang zaman yang tidak pernah pupus. Malah, kelompok pereka fesyen dan pengeluar pakaian sentiasa berusaha menghasilkan koleksi kemeja berkotak mengikut peredaran fesyen semasa.
Menurut pereka muda yang semakin meningkat naik dalam industri fesyen tempatan, Mohammad Zarrieff, 23, sama seperti seluar kaki kembang (bell bottom), kemeja berkotak antara item fesyen yang diminati sepanjang zaman. Kemunculan kepelbagaian pakaian rekaan dan potongan moden sedikitpun tidak menjejaskan jualan kemeja fabrik kotak.
Bahkan, fesyen itu sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan jejaka tempatan memandangkan mereka lebih cenderung menggayakan kemeja konsep berkotak dan polos berbanding kemeja cetakan flora.
“Sebab itu, kemeja berkotak sama ada warna gelap, terang atau lembut merupakan koleksi pakaian utama yang perlu ada dalam almari personal lelaki. Lagipun, kemeja berkotak bukan saja selesa dan tampak ringkas dipakai sewaktu bersantai malah ia serasi dipadankan bersama seluar jean, khaki, seluar bermuda ataupun seluar korduroi.
“Namun begitu kemeja berkotak tidak sesuai dipakai ketika menghadiri majlis formal dan ke pejabat. Jika diperhalusi, etika pakaian di pejabat perlu formal kerana ia melibatkan sisi profesionalisme.
![]() |
| SELIPAR dan topi kait adalah antara aksesori pilihan ideal untuk dgayakan bersama kemeja kotak berwarna gelap. |
“Lazimnya, kemeja polos atau berjalur pilihan pakaian pejabat yang paling ideal,” terang Mohammad Zarrieff atau Zaf ketika diminta mengulas tentang fenomena fesyen kemeja berkotak di Malaysia.
Walaubagaimanapun, Zaf yang turut aktif menghasilkan koleksi pakaian jejaka menyifatkan mereka yang bekerja dalam bidang seni, fesyen, hiburan dan kecantikan berpeluang menyarungkan kemeja berkotak sewaktu bertugas.
Disebabkan dunia kerja tersebut tidak mempunyai garis panduan pemakaian yang terlampau serius, maka ia bebas digayakan asalkan tidak mengundang reaksi yang kurang menyenangkan dalam kalangan rakan sekerja.
Remaja Korea
Menyentuh mengenai fesyen kemeja kotak di peringkat antarabangsa, berdasarkan pengalamannya ketika menuntut di Universiti Middlesex, London, graduan Ijazah Rekaan Fesyen itu menyatakan, majoriti jejaka British meminati pakaian konsep kotak.
Selain dipakai bersama seluar jean, kemeja kotak turut dipadankan dengan seluar pendek dan selipar. Tidak ketinggalan ia sering digayakan bersama baju-T polos.
“Boleh dikatakan setiap hari jejaka di sana menyarungkan pakaian berasaskan fabrik berkotak. Tidak kiralah sama ada keluar membeli-belah, kuliah mahupun bersantai bersama teman. Malah, selebriti antarabangsa juga meminati kemeja berkotak kerana ia menyuntik mood penampilan yang santai, ringkas dan ranggi.

“Tambah menarik, mereka juga berani dan bijak bereksperimen dengan seluar, jaket dan baju-T konsep berkotak mengikut kesesuaian tempat dan keadaan,” jelas Zaf kepada Stailo.
Pereka berketinggian 178 sentimeter itu turut berkongsi cerita pengalaman bercuti di Thailand dan Korea juga mendapati lelaki di sana tidak ketinggalan menggilakan kemeja berkotak berbanding kemeja konsep jalur atau polos.
Bagi mereka, kemeja berkotak memiliki keistimewaan yang unik dan membantu mengelakkan penampilan yang membosankan. Buktinya, lihat saja gaya kumpulan Super Junior dan SNSD dalam persalinan fabrik berkotak jenama SPAO, koleksi musim panas/luruh.
Ringkasnya, fesyen pakaian konsep kotak yang menjadi kegilaan jejaka tempatan terutamanya golongan muda mencipta populariti di Malaysia sekitar tahun 1970-an. Kemunculan fesyen yang pernah sinonim dengan kumpulan hippies, skin head dan punk itu di sini secara tidak langsung membawa perubahan besar pada industri fesyen tempatan.
Namun, gelombang fesyen tersebut surut seketika selama beberapa era tetapi hit kembali pada tahun 1990 sehingga menenggelamkan stail pakaian motif flora dan corak abstrak.
Kemeja berkotak Bonk’s
Menyedari fenomena pakaian stail kotak di Malaysia semakin memberangsangkan, butik Bonk’s yang memulakan operasi awal tahun ini cenderung menawarkan koleksi pakaian berkenaan.
![]() |
| PELBAGAI jenis gaya dapat dijelmakan dengan menyuai padan pilihan pakaian dan aksesori di butik Bonk's. |
Buktinya, di setiap sudut butik Bonk’s yang beroperasi di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur itu sarat dengan kemeja berkotak pelbagai warna dan rekaan.
Menurut Pengurus Pemasaran Bonk’s Kuala Lumpur, Mohd. Wafi Mohd. Shari, kebanyakan kemeja konsep kotak diimport khas dari Korea, China dan Bangkok kerana ketiga-tiga negara tersebut menghasilkan kemeja berkotak yang berkualiti dan tahan lasak.
“Dari segi material, Bonk’s menawarkan kemeja yang diperbuat daripada fabrik kapas dan linen memandangkan ia ideal dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap. Lagipun material ini memberi keselesaan kepada si pemakai dan mudah dijaga serta dicuci.
“Biasanya kumpulan remaja yang berusia antara 15 hingga 25 tahun, menggemari kemeja kotak besar dan warna terang kerana inginkan penampilan nampak segar. Sementara itu, jejaka berusia 40 tahun ke atas pula mula cenderung membeli kemeja kotak kecil. Mereka enggan kelihatan menonjol di depan orang ramai,” tutur Mohd. Wafi yang turut menjual koleksi blaus dan kemeja berkotak buat golongan wanita.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: