
Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa pemilik nama Saiful Azmi Roslan ini, memilih nama tersebut sebagai nama kontinya, sedangkan penyampai lain di stesen itu lebih senang menggunakan nama mereka sendiri.
Bob ditemui berkata, nama itu diberikan oleh hero popular Malaysia Afdlin Shauki dan Rosyam Nor.
“Saya bertemu mereka di kafe Suria.fm. Ketika itu, mereka datang untuk menyumbangkan suara sebagai promosi suria.fm yang baru bertapak. Apabila berbual-bual, tercetus nama Bob oleh Afdlin. Katanya, nama itu sesuai untuk kami yang bertubuh besar.
“Nama itu disahut Rosyam yang mahu saya menggunakan nama penguat. Lantas mencadangkan nama Ringgo, iaitu salah satu watak dalam filemnya. Mendengar nama itu, saya rasa ok dan mencuba ‘menukar’ nama saya.
“Mula-mula tu memang susah nak sesuaikan diri dengan nama ni. Pernah tersasul ketika bertugas, tetapi lama-kelamaan ia semakin sinonim dengan saya,” katanya yang sudah selesa menggunakan nama tersebut sejak enam tahun lalu.
Mengakui nama unik itu begitu serasi sehingga ada pihak mudah ingat dan mengingati namanya.
“Mungkin pada awal-awal dulu, ada bertanya mengapa nama itu, tetapi sekarang orang tidak lagi bertanya, malah mengatakan nama saya unik dan sesuai dengan personaliti saya yang agak ‘gila-gila’ sewaktu bertugas.
“Nama ini akan kekal sampai bila-bila walaupun satu masa nanti saya mungkin akan kurus,” ujarnya sambil tersenyum.
Bermula dengan sertai rancangan realiti
Sudah hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran, Bob sebenarnya bermula dengan menyertai program realiti DJ Imipan pada usianya awal 20-an.
“Selepas tamat pengajian dari luar negara, saya minat bercakap dan tidak tahu kerjaya apa yang sesuai. Walaupun mempunyai ijazah dalam bidang perniagaan, ketika itu, saya tidak minat untuk bekerja dalam pejabat yang memerlukan saya duduk dari pagi hingga pentang.
“Melihat iklan program realiti itu, saya mencuba nasib sahaja. Sudah tentu saya tidak punya bakat besar sebagai DJ, tetapi saya hanya mencuba. Tidak sangka dapat dan tercalon sebagai lima terbaik.
“Walaupun tidak menang, tapi banyak pengalaman saya dapat. Saya pernah bertugas di stesen radio lain sebelum berhijrah ke Suria.fm. Saya suka cabaran dan kerana itu saya berani bertukar walaupun ketika itu Suria.fm masih baru dan masih mencari tapak,” katanya menganggap kerjaya sebagai penyampai radio sesuatu memerlukan kesabaran dan minat mendalam.
Bob adalah antara enam deejay pertama Suria.fm pada awal-awal ditubuhkan.
“Saya bermula daripada bawah, sewaktu Suria.fm muncul dulu, macam-macam cabaran terpaksa kami lalui. Konti tidak selesa seperti sekarang, peralatan digunakan untuk ke udara juga tidak lengkap, pandai-pandailah kami nak sesuaikan diri.
“Masa tu juga Suria.fm hanya ke udara di beberapa kawasan sahaja berbanding kini ia sudah berkembang hingga satu Malaysia,” katanya.
Jelasnya, kini dia berbangga kerana dikenali melalui stesen ini, bahkan gembira kerana dapat berjasa menaikkan nama Suria.fm.
Perjuang muzik rock
Sesuai dengan slot dikendalikan Rock Guru, Bob senang kerana diberikan peluang untuk memperjuangkan muzik rock di stesen radio berkenaan.
“Rock Guru adalah slot di mana setiap lagu rock lama dan tidak pernah didengar dimainkan. Biasanya kita tidak kenal siapa penyanyi menyanyikan lagu rock ini.
“Jadi, melalui Rock Guru pendengar akan mengetahui siapa penyanyinya, apa judul lagu dan sejarah lagu tersebut. Rock Guru adalah slot istimewa kerana pendengar khususnya generasi muda sekarang boleh mengetahui lagu-lagu rock yang pernah popular satu masa dahulu,” katanya yang turut mengendalikan slot Rock Graviti Baru(RGB) yang ke udara setiap hari Ahad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: