Sunday, October 2, 2011

Beri peluang kepada peniaga


MOHD. RIDZUAN (berdiri) menerangkan sesuatu kepada para peniaga di Lot 152, Jalan Ampang ketika mengadakan perjumpaan di Jalan Ampang semalam.


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mahu Kementerian Pelancongan memanjangkan tempoh operasi sekumpulan 43 peniaga di Lot 152, Jalan Ampang.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, tempoh sekurang-kurangnya dua minggu wajar diberi memandangkan ramai peniaga belum mendapat pulangan modal.

“Kami akan menulis surat kepada kementerian supaya memberi tempoh lagi. Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan kementerian menentukannya,” ujarnya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kemelut yang berlaku apabila Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) mengarahkan para peniaga yang juga ahli Persatuan Peniaga Kuala Lumpur 1Malaysia (PPKL1M) mengosongkan tapak di kawasan itu pada minggu lalu sehingga menyebabkan peniaga membuat bantahan.

Arahan itu dikeluarkan kerana Matic mahu membaikpulih kawasan berkenaan.

Mengulas perkara yang sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Rashidi Hasbullah berkata, tidak ada sebab untuk PPKL1M membuat bantahan kerana lokasi itu bersifat sementara dan notis yang mereka boleh diarahkan keluar pada bila-bila masa sahaja sudah dikeluarkan.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan Abdullah memberitahu, masalah tersebut sebenarnya berpunca daripada salah faham antara kedua-dua pihak mengenai surat perjanjian yang ditandatangani sebelum operasi perniagaan dimulakan pada 14 Mac lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: