Tuesday, October 18, 2011

Bahan api mesra alam


Yiap Tea Sin bersama barisan penyelidik dari universiti tempatan yang merupakan antara peneraju proses pengembangan dan penyelidikan (R&D) bahan api sel.


DEWASA ini kita berlumba-lumba menghasilkan teknologi yang lebih mesra alam dan pada masa yang sama mampu memberikan manfaat secara maksimum kepada manusia.

Bahan api sel merupakan antara alternatif pilihan untuk menghasilkan tenaga tanpa perlu kita membakar bahan api fosil iaitu minyak.

Malah, melalui teknologi ini pelepasan karbon bukan sahaja dapat dikurangkan malah ia langsung tidak menghasilkan bahan buangan yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

Menurut Pengarah Urusan G-Energy Technologies Sdn. Bhd., Yiap Tea Sin, teknologi bahan api sel lebih bersih, berkesan dan mampu mengurangkan kos dalam konteks sumber tenaga alternatif.

"Ia mampu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan meningkatkan mutu alam sekitar.

"Bahan api sel ini juga merupakan alternatif terbaik untuk masa depan yang lebih hijau," ujarnya ketika ditemui di pameran dan persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eco yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Yiap, bahan api sel merupakan sebuah peranti khas yang bertindak menghasilkan tenaga melalui tindak balas penukaran elektrokimia.

Ia menukarkan tenaga kimia daripada bahan api sel kepada tenaga elektrik melalui tindak balas bahan api bersama agen pengoksidaan.

Bagi teknologi itu, Tea Sin menggunakan bahan api sel yang murah iaitu gas hidrogen dan hasil buangannya hanyalah tenaga haba.

Teknologi itu telah dibangunkan oleh G-Energy Technologies sejak tahun 2009 dan menurut Yiap syarikat tersebut turut menerima bantuan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan bermula dari proses penyelidikan dan pengembangan (R&D), pembangunan teknologi, pembuatan serta jualan dan pemasaran.

Tujuan syarikat tersebut adalah untuk menjadikan negara sebagai pemacu utama teknologi hijau tersebut bersama-sama dengan pemain utama teknologi itu di seluruh dunia.

Malah, misi utamanya turut jelas iaitu mahu membangunkan teknologi sel bahan api utama negara dengan menghasilkan produk yang berkualiti tinggi serta mampu dipasarkan ke seluruh dunia.

Tambah Tea Sin, mereka merupakan antara syarikat pertama di negara ini yang membangun dan menghasilkan teknologi bahan api sel tersebut dan ia merupakan suatu teknologi yang sangat baru.

"Masih ramai yang tidak sedar akan kebaikan teknologi ini berbanding bahan api fosil yang biasa.

"Kita perlu mempromosi teknologi ini agar orang ramai lebih yakin untuk memilih dan menggunakannya," katanya.

Bahan api sel yang dibangunkan mereka terdiri daripda kepingan bipolar yang dihasilkan melalui proses tekanan acuan secara besar-besaran.

Malah G-Energy Technologiest turut menghasilkan Pemasangan Lapisan Elektrod (MEA) menggunakan saduran ultrasonik sebagai lapisan kepada kertas karbon dalam pembentukan elektrod resapan gas (GEA).

Malah mereka juga turut membekalkan PEM (lapisan bahan api sel) yang mana mampu menjana kuasa dari 100 watt (W) sehingga 100kilowatt (kW) dan membangunkan generator Balancing Of Plant (BOP) sebagai pembekal tenaga sokongan.

Sistem BOP keluaran G-Energy Technologiest itu boleh digunakan mana-mana aplikasi generasi tenaga dan mudah untuk dipasang.

Biarpun teknologi itu masih baru dan dilihat masih belum dapat dikomersialkan secara besar-besaran namun ia dijangka akan mendapat tempat menggantikan teknologi penghasilan tenaga yang sedia ada pada masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web G-Energy Technologiest di alamat www.g-energy.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: