Tuesday, October 18, 2011

Badai Semalam ke Singapura


UMIE, Aaron dan Erra bakal menyuntik aura masing-masing dalam pementasan teater Badai Semalam.


TIDAK keterlaluan jika dikatakan novel berjudul Badai Semalam hasil nukilan novelis Khadijah Hashim sememangnya adalah antara novel Melayu terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini.

Ketika dihasilkan kira-kira tiga dekad yang lalu, watak-watak dalam novel berkenaan seperti Mazni, Karim dan Zaki dilihat sangat dekat kehidupan masyarakat pada masa itu.

Maka, tidak hairanlah novel tersebut sudah banyak kali diulang cetak apabila ia terus diminati generasi hari ini lantaran jalan ceritanya yang dilihat masih lagi relevan dengan keadaan masyarakat sekarang.

Bermula dengan sebuah novel yang turut dijadikan teks kesusasteraan Melayu di sekolah-sekolah, kemudian ia diadaptasi menjadi sebuah drama radio dan selepas itu drama televisyen, kali ini ia diangkat pula ke pentas teater.

Menariknya, teater yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 11 hingga 20 November 2011 nanti turut dijayakan dengan nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Aaron Aziz, Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, Fizz Fairuz dan Ziela Jalil.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata, biarpun Badai Semalam baru kali pertama dipentaskan di situ, namun sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan.

“Apa yang boleh saya maklumkan, jualan tiket untuk teater ini sangat laris apabila 50 peratus daripadanya sudah pun terjual dalam tempoh sebulan semenjak ia mula dijual pada bulan lalu.

“Sehinggakan pihak kami terpaksa menyimpan tiket-tiket untuk tayangan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad semata-mata mahu memberi peluang kepada penonton dari Kuala Lumpur untuk menonton teater ini,” jelasnya pada satu majlis sidang akhbar baru-baru ini.

Pada majlis yang sama, turut diadakan acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara IB dan Frensis Sdn. Bhd. dengan Kumpulan Utusan dan Sinar FM yang bertindak sebagai rakan media rasmi yang dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said.

Penghormatan

Menurut Juhari, biarpun teater ini masih lagi belum dipentaskan kepada orang ramai, namun pihaknya sudah mendapat undangan untuk dipentaskan di Esplanade, Singapura pada tahun hadapan.


DARI KIRI: Rostam, Aziz, Mohamed Juhari dan Erra pada sidang akhbar pementasan teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Bagi kami ia merupakan satu penghormatan yang cukup besar apabila pihak Esplanade Theatre telah membuat permintaan untuk mementaskan teater Badai Semalam di situ. Cuma buat masa ini kami masih lagi belum memberi kata putus kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, penulis asal novel ini, Khadijah Hashim yang turut hadir pada majlis tersebut berkata, dia sebenarnya merasa sangat gembira apabila novelnya itu diangkat ke pentas teater selepas drama radio dan televisyen.

Ujarnya, dia sendiri pada mulanya tidak menyangka Badai Semalam akan dipentaskan di IB dan mengakui langsung tidak keberatan untuk membenarkan ia dibawa ke pentas teater pula.

“Lagipun novel saya ini sudah mendapat sambutan yang baik sejak dahulu lagi di Malaysia dan Singapura. Malah, saya juga akan memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak yang mahu membuat filem berdasarkan novel saya ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Selain menampilkan nama-nama hebat dalam industri seni tanah air, teater tersebut bakal diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy, manakala skripnya pula dihasilkan oleh Erma Fatima, Aminah Rhapor dan Rahimidin Zahiri.

Tiket-tiket untuk menyaksikan teater tersebut masih lagi dijual dengan harga RM30, RM50, RM70, RM100, RM150 dan RM300 yang boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.biz atau membelinya terus di Istana Budaya.

Dengan pemilihan beberapa pelakon hebat seperti Aaron Aziz dan Erra Fazira selaku tunjang utama untuk membawakan watak Karim dan Mazni, ternyata Juhari mempunyai cerita tersendiri tentang pemilihan pelakon-pelakon tersebut.

Ujarnya, sebahagian besar pelakon yang diundang untuk menjayakan teater Badai Semalam pada asalnya adalah pelakon-pelakon yang akan berlakon dalam teater berjudul Salina.

“Memandangkan pementasan teater Salina terpaksa ditangguhkan, maka pihak Istana Budaya terpaksa mencari naskhah yang lain dan akhirnya kami telah memilih Badai Semalam untuk dipentaskan,” jelasnya.

Bagi Aaron Aziz yang pernah tampil dalam pementasan teater Natrah sebelum ini mengakui bahawa dia sebenarnya sangat risau apabila bakal membawakan satu watak yang cukup mencabar untuk teater ini.

Jelasnya, ia merupakan satu cabaran yang besar buat dirinya sebagai pelakon memandangkan kurang berpengalaman di pentas teater serta gaya bahasa yang digunakan nanti lebih mendalam.

“Walaupun terpaksa memikul tanggungjawab yang besar dalam teater ini, saya akan tetap cuba sebaik mungkin. Asalkan tiada sebarang babak menari dan menyanyi memandangkan saya tiada bakat dalam kedua-dua bidang itu,” jelasnya.

Sementara itu, Erra Fazira selaku Pengarah Urusan Frensis Sdn. Bhd. meluahkan rasa gembiranya apabila dipilih oleh pihak Istana Budaya untuk menjadi penerbit bersama teater tersebut.

“Sudah tentu saya berasa sangat gembira dengan peluang yang diberikan, meskipun tanggungjawab yang diberikan kepada pihak kami agak berat iaitu mencari penaja dan saya sendiri turut turun padang untuk berjumpa dengan badan-badan korporat yang berminat untuk menaja,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: