GEMBIRA...Mustapa (empat dari kiri) bergambar bersama pasukan yang memenangi tempat pertama hingga ketiga Terbuka Lelaki.
PERCUBAAN kali keempat Red Galacticos FC pada saingan Karnival Futsal Harian Metro akhirnya membuahkan hasil apabila dinobat sebagai juara Terbuka Lelaki pada saingan Grand Final di Centermart, Setapak semalam.
Hadir dengan meletakkan sasaran tinggi untuk merangkul kejuaraan pada musim ini, impian Red Galacticos tercapai juga selepas menewaskan J Brabus United menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final semalam.
Dengan kemenangan itu, pasukan dari Subang itu membawa pulang hadiah lumayan berjumlah RM15,000 serta piala iringan.
Lebih membanggakan apabila salah seorang pemain mereka, Alvin Chew dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir sekali gus menjadi kejayaan berganda Red Galacticos.
Pengurus pasukan, Kevin Yee nyata amat berpuas hati dan bangga dengan kejayaan anak buahnya yang tidak pernah mengenal erti putus asa apabila berjaya mengharungi semua rintangan semalam.
“Sejak dari awal saingan, kami sering ketinggalan tapi semangat tinggi dipamerkan pemain untuk bangkit semula menjadi kunci kepada kejayaan kami.
“Begitu juga pada aksi final hari ini (semalam), selepas ketinggalan 0-1, pemain tidak putus asa dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
“Sebagai pengurus, memang saya rasa puas kerana percubaan kali keempat di Karvinal Futsal Harian Metro akhirnya berhasil apabila muncul juara,” katanya.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar bersama wakil penaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: