KOLEKSI 2012...barisan model menggayakan himpunan kaca mata Swarovski 2012 daripada Focus Point.
MEMAKAI kaca mata dapat membentuk imej seseorang. Hanya dengan sepasang bingkai berkaca yang berfungsi bagi melindungi mata, anda mampu kelihatan pintar, seksi dan bergaya.
Malah, dalam sesetengah keadaan kaca mata mampu menarik perhatian serta memberi keyakinan kepada si pemakai.
Bagi penggemar kaca mata, memilih perhiasan mata ini bukanlah perkara sukar. Apa yang perlu diberi perhatian adalah acara, bentuk wajah dan juga solekan.
Bagi wanita yang memiliki bentuk wajah bersegi, seharusnya memilih cermin mata bulat kerana mampu memberikan bentuk wajah bujur manakala wanita berwajah oval tidak perlu khuatir kerana bebas memakai sebarang bentuk cermin mata kerana semua jenis sesuai dengan mereka.
Begitu juga bagi yang berwajah mungil, mereka disarankan memilih bingkai lebar ke bawah.
Ini kerana bingkai kaca mata yang terlalu lebar dan melebihi ukuran wajah, akan kelihatan tidak seimbang.
Bagi penggemar kaca mata yang memiliki kulit gelap, seharusnya memilih bingkai berwarna terang bagi menampakkan kulit lebih cerah.
Menyedari kaca mata kini bukan saja sebagai keperluan tetapi perhiasan sama seperti tas tangan, anting-anting dan jam tangan, buat kali pertama Focus Point kini melancarkan koleksi cermin mata Swarovski 2012 selepas menerima sambutan menggalakkan di Eropah bulan lalu.
Hadir dengan himpunan kaca mata cukup menyerlah, setiap satunya direka bagi memenuhi keperluan wanita yang ingin tampil bergaya dan elegan dalam setiap acara yang dihadiri.
Ketika majlis pelancaran di Modesto The Curve Damansara, Pegawai Eksekutif Berkumpulan Focus Point Vision Care Berhad, Kim Ng, berkata sebagai pengeluar produk optik utama di Malaysia, kehadiran kaca mata Swarovski diharap menjadi pencetus fesyen terkini wanita sekali gus menjadi pelengkap gaya mereka.
“Menyedari permintaan pelanggan visi kami adalah ingin menjadi peneraju utama Asia dalam pemasaran produk optik di Malaysia,” katanya yang turut menzahirkan kebanggaan Focus Point kerana dapat melancarkan cermin mata Swarovski 2012 buat kali pertama di Malaysia.
Himpunan kaca mata yang memukau ini didatangkan dalam rekaan moden dan berkualiti dengan 10 gaya berbeza. Rekaan mengambil kira tiga elemen bermotifkan kristal arkitek, lakaran logo itik dan bunga.
Imej empat itik direka penuh berseni seakan sama seperti orkid. Memakainya selain tampil moden, wanita juga mampu melindungi mata daripada sinaran matahari dengan jaringan penapis serta cermin berkualiti.
Menurut Pengurus Pembangunan Asia Marcolin Group, Christina Sheng, kerjasama antara Focus Point dan Marcolin adalah jalinan hubungan erat selepas kejayaan pelancaran produk cermin mata Mei lalu.
Kaca mata jenama mewah, Swarovski ini boleh didapati secara eksklusif di Focus Point mulai November ini.
Panduan memakai cermin mata:
- Pilih kaca mata ringan, chic dan trendy berbanding kaca mata berbingkai berat yang membuat anda kelihatan lebih serius dan tua.
- Solekan semula jadi lebih sesuai sekiranya anda berkaca mata kerana bingkai kaca mata akan menambah perhiasan pada wajah. Solekan terlalu kontras akan menyebabkan penampilan terlalu menonjol.
- Gunakan celak tipis pada garis mata, kemudian oleskan pengilat bibir dan pemerah pipi. Solekan sederhana akan membuat wajah lebih segar meskipun anda memakai kaca mata sepanjang hari.
- Ramai tidak tahu bentuk alis juga sangat penting bagi mereka yang berkaca mata. Rapikan alis dengan bentuk sedikit melengkung untuk menampakkan wajah lebih menawan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: