Monday, September 5, 2011

UTM anjur program KKN di Indonesia


SEBAHAGIAN daripada pelajar UTM yang terlibat menjayakan Program Latihan Perkhidmatan Industri di Indonesia, baru-baru ini.


UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program Latihan Perkhidmatan Industri baru-baru ini sebagai salah satu aktiviti khidmat pembelajaran di peringkat antarabangsa.

Seramai 19 mahasiswa UTM terpilih untuk mengikuti program itu di dua lokasi iaitu di Yogyakarta dan Padang, Indonesia.

Program anjuran Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum UTM dengan kerjasama Universitas Gadjah Mada (UGM) dan Universitas Andalas (UNAND) itu memberi pendedahan tentang konsep pelaksanaan Kuliah Kerja Nyata (KKN) sebelum dimanfaatkan dalam matapelajaran yang akan bermula pada semester hadapan.

KKN merupakan program yang wajib diambil oleh seluruh mahasiswa UGM dan UNAND sebelum mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Tempoh selama dua bulan bersama masyarakat itu dimanfaatkan dengan pelbagai tema yang telah dipilih.

Di UGM sendiri, program KKN dikelolakan oleh Lembaga Penelitian dan Pengabdian Masyarakat (LPPM) yang juga telah menerima pengiktirafan dari International Standard Organization (ISO).

Di Yogyakarta mahasiswa UTM dibahagikan kepada empat lokasi iaitu di pesisir pantai Kebumen, Kulon Progo, Kuang dan Turi.

Ketua Delegasi ke Yogyakarta, Mohd. Ariff Makhfudz berkata, program Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum memberi peluang kepada kami dalam menjadi perintis kepada Program Latihan Perkhidmatan Industri kepada ini.

"Terima kasih juga kepada pihak UGM dan masyarakat Indonesia yang menerima kami dengan senang hati walaupun hanya sementara kami di sini," katanya.

Sementara itu, Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, Muhammad Afdhaluddin Mohd. Yusof berkata, program KKN harus diterapkan di dalam sistem pendidikan di Malaysia.

"Ia amat sesuai untuk diterapkan di dalam sukatan mata pelajaran mahasiswa di Malaysia.

"Ini adalah untuk mengembalikan peranan dan fungsi mahasiswa kepada masyarakat dan sebagai persediaan, agar apabila mereka bekerja, baik yang menjadi ahli perniagaan atau wakil rakyat mereka tidak melupakan masyarakat," katanya

Menurut Muhammad Afdhaluddin, program itu amat berkesan dan selari dengan konsep rakyat didahulukan pencapaian diutamakan yang disaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: