Friday, September 9, 2011

TUKAR survival kedai runcit


MAZNAH HUSSIN menyusun barangan yang dijual di kedai runcit miliknya, Maznah Gemilang Enterprise di bawah Program TUKAR di Merlimau Utara, Jasin, Melaka.


MINAT pelanggan membeli barangan secara berulang di sesebuah kedai kebiasaannya banyak dipengaruhi oleh keadaan kedai yang selesa dan bersih, layanan mesra dan pilihan barangan.

Faktor-faktor itu menjadi asas yang akan membawa kepada kejayaan sesebuah kedai di samping membina hubungan yang baik antara pelanggan dan pekedai.

Walaupun hari ini, pasar raya hiper kekal popular dalam masyarakat berikutan pelbagai produk dan keselesaan yang disediakan, tetapi kedai runcit tradisional masih diperlukan.

Kedai-kedai berkenaan menyediakan keselesaan kepada penduduk yang tinggal berhampiran dan melahirkan suasana kehidupan kepada pengendalinya.

Namun, oleh kerana terdapat saingan daripada pembelian secara pukal menyebabkan pekedai runcit terpaksa mengubah model perniagaan jika ingin terus kekal.

Selaras dengan itu, Program Transformasi Kedai Runcit yang juga dikenali sebagai Program TUKAR diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Program TUKAR adalah Projek-Projek Permulaan (EPP) yang bertujuan untuk memodenkan operasi kedai runcit tradisional bagi meningkatkan tahap daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Program itu bertujuan untuk memodenkan kedai runcit tradisional. Dengan memodenkan premis peruncit yang sedia ada, ia akan menjurus kepada penaiktarafan premis itu.

Malah, dengan pemodenan itu ia dapat menggalakkan penyertaan koperasi dalam peruncitan dan mewujudkan pusat pengedaran setempat.

Program TUKAR dengan peruntukan RM30 juta daripada kerajaan itu diwujudkan selepas mendengar luahan hati serta masalah yang dihadapi peniaga kedai runcit yang sukar bersaing dengan pasar raya.

TUKAR tingkatkan jumlah pelanggan

Fatimah Bibi, 40, telah mengusahakan kedai runcit selama lapan tahun, tetapi pelanggan yang datang ke kedainya membeli barang dengan cepat dan meninggalkan kedai dengan kadar yang segera.


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melawat kedai runcit TUKAR di Desa Murni, Temerloh, Pahang.


Beliau bimbang jika keadaan itu berterusan, bilangan pelanggan akan berkurangan.

Tidak lama kemudian, Fatimah telah dihubungi oleh pihak KPDNKK dan dia ditawarkan untuk memodenkan premis perniagaannya.

"Setelah kedai runcit saya dimodenkan di bawah program TUKAR, saya mendapati pelanggan yang datang ke kedai semakin meningkat dan pelanggan akan mengambil masa untuk membeli barang keperluan mereka," kata Fatimah.

"Setakat ini sebanyak 175 buah kedai dapat dimodenkan di bawah TUKAR," kata pengurus Program TUKAR, Zahari Md. Afandi.

Pemodenan kedai runcit akan meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan secara kompetitif.

Dengan peningkatan itu, ia juga mampu meningkatkan keupayaan perkhidmatan pelanggan dan menyelarikan kualiti proses perniagaan secara menyeluruh, kata Zahari.

"Hasilnya, promosi rantaian penawaran yang berkos efektif dan efisien dan menjurus kepada penggalakan jualan produk berkualiti melalui pelbagai langkah. Malah, program TUKAR akan dapat menyediakan peruncit untuk pelaksanaan Good Service Tax (GST)," katanya kepada Bernama.

Di bawah program TUKAR, bukan sahaja kedai runcit dimodenkan malah, ia merangkumi aspek modal insan, mesin dan peralatan, kemahiran dan prosedur operasi standard (SOP) termasuk susun atur barangan dan inventori.

Kriteria pemodenan tukar

Menurut Zahari, kriteria pemodenan TUKAR memberi fokus kepada pembangunan modal insan iaitu pengusaha perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan khususnya dalam bidang peruncitan.

Pengusaha perlulah menghadiri kursus keusahawanan dalam bidang peruncitan yang akan dikendalikan oleh konsultan.

Dalam proses pemodenan itu, mesin dan peralatan diberi keutamaan untuk ditukarkan. Antaranya ialah Point Of Sale (POS), Counter Terminal (GST ready) yang meliputi sistem kod bar dan pangkalan data inventori, susun atur gondola, pencahayaan, papan tanda berlogo TUKAR dan capaian internet.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 hingga RM60,000 dengan caj perkhidmatan tiga peratus setahun sebagai pinjaman kepada pemilik kedai yang menyertai program TUKAR.

Pinjaman yang diperuntukkan tidak akan diberikan dalam bentuk tunai kepada peniaga tetapi, akan dibayar terus kepada kontraktor bagi kos peralatan dan perkhidmatan pengubahsuaian.

"Setakat ini kita ada 11 konsultan untuk program ini yang terdiri daripada Giant, Carrefour, Tesco dan hypermarket tempatan seperti Mydin dan Econsafe. Mereka berperanan sebagai penasihat terutamanya dalam sistem POS," kata Zahari.

Sistem POS penting bagi membantu seseorang peruncit dalam mengetahui margin keuntungan, bilangan stok yang terjual dan bilangan stok yang masih ada kerana maklumat seumpama itu amat penting bagi seseorang peruncit menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan.

1 comment:

  1. salam..sy ada menjual sabun susu beras..jika berminat boleh layari laman blog sy

    www.sabunberasmurah.blogspot.com

    untuk keterangan lanjut...

    terima kasih...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: