
BUKAN mudah untuk mengenali sesuatu budaya asing itu jika tidak menyelaminya sendiri. Ini dibuktikan sendiri beberapa pelajar Malaysia yang berkesempatan mengenali dunia baru di negara serba asing pilihan mereka.
Seramai 40 orang pelajar dari sekolah di seluruh negara telah dipilih untuk menyertai Youth Exchange and Study Programmes (YES). Bagaimanapun hanya sembilan daripada mereka berjaya dipilih untuk berkongsi pengalaman ini bersama penonton 8TV.
Peluang yang dikecapi oleh sembilan peserta program realiti Field Trip USA itu juga bukanlah pengalaman biasa kerana kesemua mereka terpaksa menyesuaikan diri di dalam suasana budaya yang jauh berbeza dari Malaysia.
Field Trip USA yang masuk musim kedua tahun ini adalah rancangan realiti mengenai pengalaman sebenar yang dilalui oleh remaja-remaja Malaysia yang terpilih ke negara Uncle Sam itu.
Ditempatkan bersama keluarga angkat di kawasan yang berbeza-beza, kesemua sembilan pelajar itu akan berada di negara berkenaan selama enam bulan dan menjalani kehidupan biasa sebagai seorang remaja di Amerika Syarikat.
Sembilan orang pelajar yang terpilih itu adalah Sanjiv, ditempatkan di Seattle, Washington, Najmin (Oregan, Ohio), Gan (Charlotte, North Carolina), Ammalina (West Palm Beach, Florida), Kwek Thiam Chye (Wisconsin Rapids, Wisconsin), Thessaa (Goldfield, Iowa), Cherlyn (Hagerstown, Indiana), Roderick (Indianapolis, Indiana) dan Satyan (Adams, Minnesota).
Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7 Airin Zainul berkata, program realiti itu bakal menarik minat terutamanya bagi mereka yang suka mengembara.
"Meneroka bumi Amerika Syarikat menerusi mata pelajar-pelajar muda ini pasti membuka mata penonton kami dengan perkara-perkara yang cukup menyeronokkan.
"Pelajar yang terpilih dalam rancangan ini akan berkongsi pengembaraan dan pengalaman mereka di negara asing," ujarnya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.
Sementara itu penerbit program realiti itu Alet Arzuan memberitahu, antara perbezaan yang paling ketara untuk musim kedua adalah pengalaman yang dibekalkan setiap episod buat penonton di rumah.
"Kami berada di Amerika Syarikat selama 35 hari bagi melawat kesemua sembilan pelajar di sana.
"Kesemua negeri atau kawasan yang dilihat penonton dalam rancangan ini adalah berbeza dari musim pertama dan ini adalah satu lagi kelainan yang ingin dibawakan kami," katanya.
Dalam pada itu Ammalin Aisyah Azman antara peserta dalam program ini menyifatkan, pengalaman bersama keluarga angkat di sana sebagai sesuatu yang sangat berharga.
"Pada bulan pertama, saya banyak berkongsi pendapat mengenai agama serta cara kehidupan saya sebagai seorang muslim.
"Syukur ahli keluarga 'baru' saya berfikiran terbuka untuk menerimanya," katanya ringkas.
Program realiti selama 30 minit itu bakal disiarkan pada 28 September ini dan akan bersiaran selama 10 minggu dengan menampilkan Qushairi Razali sebagai sebagai hos rancangan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: