Monday, September 5, 2011

Steven Soderbergh bersama filem baru Contagion


Aktor Jude Law dalam satu babak dalam filem Contagion dalam gambar publisiti yang dikeluarkan kepada Reuters pada 31 ogos lalu.


VENICE 4 Sept. - Dari Hong Kong hingga ke Chicago dan merentasi sampai ke London, seluruh dunia secara tiba-tiba menjadi kelam-kabut apabila sejenis virus yang membawa maut melanda dunia. Itulah kisah yang dipaparkan di dalam filem terbaru Steven Soderbergh, Contagion, yang ditayangkan pada Festival Filem Venice, semalam.

Pelakon Gwyneth Paltrow, antara watak terawal yang terkorban akibat virus itu di dalam filem tersebut berkata, virus di dalam filem tersebut amat berbahaya kerana boleh membawa maut dengan satu sentuhan sahaja.

"Melalui satu sentuhan sahaja dengan orang lain, ia akan menyebabkan kematian. Anda tidak boleh terlalu berani, jika tidak anda juga akan mati," katanya menerangkan sifat virus itu yang dipaparkan dalam filem tersebut.

Ditayangkan di ketika sebahagian besar negara Eropah dilanda krisis perbankan sebenar yang disulami dengan rusuhan di beberapa bandar di benua itu dan kerisauan yang semakin memuncak berhubung keganasan biologi, filem itu menggambarkan kepercayaan dalam masyarakat yang sudah hilang lalu membangkitkan kerisauan sejagat.

Pengarah yang pernah memenangi anugerah Academy itu berkata, dia tertarik untuk menceritakan tentang manusia bergelut dengan masalah sebenar, terutamanya yang melibatkan kesuntukan masa dan pertaruhan yang sangat mahal harganya.

Matt Damon, yang memegang watak sebagai suami Paltrow menunjukkan dia tidak berupaya berbuat apa-apa ketika melihat isterinya semakin tenat sejak pulang dari Hong Kong lalu terkorban, menyebabkan dia berusaha melindungi anak perempuan mereka yang berusia 15 tahun daripada dijangkiti virus itu.

Filem yang digarap berdasarkan penyelidikan saintifik sebenar dan pendapat daripada pakar-pakar penyakit berjangkit turut dilakonkan oleh Jude Law.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: