Friday, September 9, 2011

Seni rekaan selendang dunia Islam


Wanita Melayu Minangkabau menggayakan busana tradisional berserta selendang dan hiasan kepala Abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah.


MUZIUM Kesenian Islam Malaysia (MKIM) mempunyai pelbagai koleksi selendang dari beberapa negara Islam seperti dunia Melayu, India, Iran dan Asia Tengah. Selendang mempunyai pelbagai saiz dan kegunaan mengikut adat resam dan cara hidup masyarakat Islam di sesuatu kawasan.

Di Malaysia selendang sering dikaitkan sebagai salah satu daripada pakaian wanita sama ada sebagai tudung ataupun dijadikan hiasan di bahu ketika memakai pakaian tradisional seperti baju kurung atau kebaya.

Kain selendang yang digunakan sebagai tudung dan hiasan di bahu oleh wanita Melayu selalunya nipis dan mempunyai hiasan yag terdiri daripada sulaman kelingkan atau sulaman biasa dan kadangkala ia diperbuat daripada kain songket.

Selendang daripada kain songket terutamanya bagi wanita Melayu Minangkabau, digunakan sebagai hiasan kepala dan juga kain penutup dada. Kain hiasan kepala wanita minangkabau dilipat sehingga mempunyai bentuk seperti tanduk.

Saiz kain selendang yang digunakan untuk tujuan ini adalah lebih besar berbanding dengan saiz kain selendang yang digunakan sebagai tudung.

Dalam pakaian tradisional kaum wanita masyarakat Melayu di Pantai Timur Semenanjung yang dikategorikan sebagai kembang, kain selendang bersaiz besar turut digunakan sebagai kain penutup kepala, bahagian belakang, bahu dan dada ketika keluar dari rumah.

Salah satu jenis kain yang sering digunakan dalam pakaian tradisional kaum wanita Pantai Timur ialah kain limar. Ini kerana ia lembut dan mempunyai warna yang menarik.

Bagi wilayah Islam yang mempunyai cuaca yang sejuk, selendang merupakan salah satu cara untuk memanaskan badan. Penggunaannya tidak terhad kepada golongan wanita sahaja.

Golongan lelaki juga menggunakan kain selendang yang bersaiz besar untuk memanaskan badan dengan melilitkan selendang untuk menutup bahagian belakang, bahu dan dada. Kadangkala saiz selendang yang besar dapat menutup hampir keseluruhan badan si pemakai.

Salah satu jenis selendang yang dihasilkan untuk tujuan ini ialah selendang Pashmina. Selendang Pashmina diperbuat daripada benang bulu kambing biri-biri.

Ia kemudiannya ditenun menjadi sehelai kain yang sangat sesuai bagi memerangkap haba dan memanaskan badan si pemakai. Selendang ini ditenun dalam pelbagai warna dan corak.

Terdapat juga selendang yang mempunyai satu warna sahaja dan ia kemudiannya dihias dengan untaian simpulan benang di bahagian atas dan bawah sebagai hiasan. Ia tidak sesuai digunakan di negara yang panas kerana sifat benang bulu yang memerangkap haba.

Satu lagi jenis selendang yang dihasilkan dan dipakai oleh masyrakat Islam ialah selendang Kashmir. Ia diberi nama sempena dengan nama tempat ia dihasilkan iaitu Kashmir.

Kashmir merupakan kawasan yang sejuk kerana ia terletak di bahagian utara benua kecil India. Tidak seperti selendang lain yang sering dihasilkan dalam bentuk segi empat tepat, selendang Kashmir sering dihasilkan dalam bentuk segi empat tepat. Si pemakai perlu melipatkan selendang tersebut menjadi bentuk segi tiga.

Selain ditenun, selendang Kashmir juga mempunyai sulaman yang dijadikan hiasan. Satu perkara yang menarik, kebanyakan penyulam dan penenun selendang Kashmir terdiri daripada golongan lelaki.

Mereka mempunyai kemahiran dalam menghasilkan selendang Kashmir bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan juga pasaran luar. Ia dihasilkan daripada pelbagai jenis benang seperti benang bulu ataupun sutera.

Selendang yang dihasilkan ini juga digunakan oleh golongan lelaki untuk tujuan pemanasan badan. Motif utama yang sering digunakan untuk menghias selendang Kashmir ialah motif tumbuhan yang dikenali sebagai 'boteh'.

Koleksi selendang dunia Islam MKIM dipamerkan di galeri tekstil MKIM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: