
Karier lakonan gadis manis ini semakin menyerlah hari demi hari. Namun mungkin ramai yang tidak tahu, pemilik nama Norliana Samsudin,27, ini sebenarnya bermula sebagai penyanyi sejak usia belasan tahun lagi.
Malah gadis yang mesra disapa Yana ini, pernah menerbitkan album berjudul Ceria pada tahun 2004 dan menyanyikan lagu tema untuk telefilem Lu’lu dimana beliau merupakan pelakon utama dalam telefilem tersebut.
Dengan menyanyi jugalah Yana mula mencari tempat sebagai orang seni dalam industri hiburan tanah air. Malah menjadikan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sebagai idolanya.
“Bermula pada tahun2004 dari menyanyi, saya menghasilkan sebuah album berjudul Yana Ceria. Terdapat 10 lagu didalamnya antaranya Hingga Hujung Nyawa, Ceria, Go Away dan Mami Jarum.
“Kebanyakan lagu dalam album tunggal saya itu dijadikan lagu runut. Tetapi rindu untuk menyanyi itu tetap ada sebab itu baru-baru ini saya ada menyanyi semula.
“Antaranya adalah lagu runut filem Aku Ada Kau Ada berduet dengan Shaheizy Sam tajuknya Aku Tahu, Kumpulan Ukay’s tajuknya Aku Jatuh Cinta (duet) dan dengan IVY Band tajuknya Demi Aku,” katanya.
Cerita Yana, minatnya dalam nyanyian bermula sejak dari kecil apabila sering melihat kakak sulungnya membuat latihan menyanyi.
“Sudah selalu sangat temankan kakak buat latihan, jadi minat itu muncul secara sendiri dan pada suatu hari saya curi-curi masuk pertandingan menyanyi di Batu Pahat Johor.
“Rezeki berpihak pada saya apabila menang dan menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan itu. Padahal umur saya baru 14 tahun ketika itu, kalah peserta lain yang lebih tua dari saya,” ka-tanya.
Bukan hanya pelakon
Mungkin rezeki anak kelahiran Yong Peng, Johor ini tidak menyebelahinya semasa berada dalam bidang nyanyian ketika itu dan menyebabkan Yana mula beralih arah kepada lakonan pula.
Tawaran berlakon dalam drama dan filem juga tidak pernah kering apabila keramahan Yana membuatkan banyak pihak selesa bekerjasama dengannya.
Nama Yana kini semakin menginjak naik di persada seni. Cabaran dalam bidang lakonannya bermula dalam Filem Histeria Arahan James Lee, terbitan Tayangan Unggul.
Ketika itu, kehadiran Yana barangkali masih belum dilihat namun pelakon ini mula dikenali selepas memegang watak sebagai Wawa dalam filem Adnan Sempit yang ditayangkan tahun lalu itu.
Semenjak itu, nama Yana semakin menjadi sebutan di kalangan para penerbit, pengarah dan peminat melalui kebolehannya membawakan watak yang diberikan.
Menurut Yana, sejak bernaung di bawah syarikat penerbitan MIG bakatnya dalam bidang lakonan semakin menyerlah malah pernah memegang tanggungjawab sebagai pengarah juga.
“Paling teruja, pada usia 23 tahun saya telah mengarah sebuah filem iaitu Selamat Pagi Cinta selepas diberi kepercayaan oleh penerbit, David Teo.
“Barangkali melihatkan kejayaan filem itu, saya dipilih oleh penerbit menjadi salah seorang pengarah muda di dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG,” kata Yana yang juga melibatkan diri sebagai editor, penulis skrip, dan seorang model.
Akui Yana, walaupun semua bidang yang diceburinya itu ada cabarannya, tetapi ia bukanlah penghalang utama, kerana minat mengatasi segalanya.
“Kekangan masa menjadi penghalang untuk saya melakukan kesemua bidang. Jadi, saya membuat keputusan untuk fokus kepada satu bidang saja buat masa ini iaitu lakonan.
“Saya ingin berikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang lakonan kerana tidak mahu rasa terbeban. Mungkin juga saya belum bersedia,” katanya.
Selesa jadi gadis lasak
Bakal muncul dalam filem komedi aksi terbaru, Bini-Biniku Gangster, yang bakal ditayangkan pada 22 September ini, Yana yang memegang watak utama dalam filem terbitan MIG itu, dilihat semakin sinonim dengan watak lasak.
Sememangnya secara realiti juga, Yana memang sangat gemarkan aktiviti yang menguji ketahanan fizikal.
“Sejak dari kecil lagi saya memang agak lasak walaupun ramai yang melihat saya sebagai seorang yang lemah lembut.
“Sebab itu juga, saya antara salah seorang artis MIG yang menyertai latihan Askar Wataniah di bawah Angkatan Tentera Malaysia atas dorongan David Teo yang terlebih dahulu telah mengikuti latihan ketenteraan itu sejak Jun lalu.
Tambah Yana, dia mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh. Malah turut mengidamkan watak yang lebih mencabar. Jelas Yana, dia teringin melakonkan watak superhero dalam filem yang ada kostum dan kuasa,” katanya yang kini menjalani penggambaran filem Minyak Dagu.
Ketika ditanya mengenai kekasih hati, Yana berkata, buat masa ini dia ingin memberi sepenuh tumpuan dengan karier dahulu.
Baginya, perjalanan seninya masih panjang dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.
“Karier adalah keutamaan saya buat masa ini. Untuk memikirkan soal jodoh itu bukan sekarang.
“Lelaki yang saya idamkan adalah seorang yang mempunyai ciri-ciri seperti beriman, kuat bekerja dan yang penting faham kerjaya kita,” akhirinya Yana yang menyambut Syawal di kampungnya di Yong Peng, Johor dalam suasana yang cukup meriah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: