
KUALA LUMPUR 6 Sept. – Halal Development Corporation (HDC) menyasarkan 11 Taman Halal yang beroperasi di seluruh negara mampu menarik keseluruhan pelaburan sebanyak RM1 bilion menjelang hujung tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, sejak tahun 2005 sehingga sekarang, sejumlah RM6 bilion pelaburan telah diterima dengan RM4.6 bilion pelaburan asing dan bakinya adalah pelaburan tempatan.
“Setakat ini, kita telah ada sembilan Taman Halal di seluruh Malaysia dan menjelang hujung tahun nanti, dua lagi dijangka siap iaitu di Terengganu dan Labuan,” katanya di dalam sidang akhbar selepas menghadiri dialog di antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan pengendali dan pemaju swasta bagi Taman Halal serta pengendali logistik anjuran HDC di sini hari ini.
Dialog tersebut telah dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Dalam pada itu, Jamil turut mengakui kesukaran untuk menarik minat pengilang terutamanya daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk beroperasi di Taman Halal walaupun kerajaan menawarkan pelbagai insentif menarik kepada mereka.
Katanya, kekangan dari segi kewangan menjadi penghalang kepada PKS-PKS ini untuk berpindah dari lokasi asal mereka menjalankan perniagaan ke Taman Halal.
Justeru, menurut Jamil, HDC memberi cadangan kepada pemaju dan pengendali taman-taman halal tersebut untuk membina kemudahan yang boleh dikongsi bersama seperti inkubator dan bilik sejuk beku boleh disewa oleh PKS-PKS dengan kadar berpatutan.
“Dengan adanya kemudahan boleh kongsi ini, ia dapat meringankan beban syarikat-syarikat kerana mereka tidak perlu memiliki sendiri peralatan tersebut sebaliknya boleh dikongsi dengan pengusaha-pengusaha yang lain,” ujarnya.
Jelas beliau, syarikat-syarikat yang beroperasi di Taman Halal layak untuk mendapatkan insentif pengecualian cukai selain pengecualian duti-duti yang lain.
Malah HDC turut menyediakan program latihan berkaitan selain membantu syarikat-syarikat tersebut merancang aktiviti promosi dan pemasaran bagi menyediakan mereka sebagai sebuah syarikat pengeksport produk dan perkhidmatan halal.
Menurut Jamil terdapat dua kategori taman halal iaitu Taman Halal berstatus Halal Malaysia (Halmas) dengan saiz lebih 40.47 hektar dan disediakan bagi projek yang lebih besar antaranya Hab Halal Selangor, Hab Halal Tanjung Manis serta Zon Halal PKFZ.
Taman Halal bagi PKS pula adalah bersaiz kurang 40.47 hektar dan antaranya terletak di Pedas, Negeri Sembilan, Serkam, Melaka dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Tambahnya, setakat ini kesembilan taman halal tersebut telah berjaya menjana lebih 3,000 pekerjaan dengan lebih 100 syarikat beroperasi di situ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: