Tuesday, September 6, 2011

Rakyat seluruh negara beri sokongan

KENANGAN...sempat merakamkan kenangan manis bersama di Ummu Sofiah.
KENANGAN...sempat merakamkan kenangan manis bersama di Ummu Sofiah.

KUMPULAN beberapa sahabat yang mengan�jurkan Kembara Ukhuwah ke utara, menziarahi dua rumah anak yatim di Taiping dan Perlis gementar apabila harinya tiba jua.

Masing-masing risau mengenai kelancaran majlis tetapi tetap berdoa segalanya berjalan seperti dirancang dan dapat menyerahkan sumbangan yang sudah dikumpul itu kepada yang berhak.

  • Foto

    CERIA..anak-anak yatim seronok dapat baju raya baru.

  • Foto

    TERIMA KASIH...kiriman hadiah termasuk kuih raya, kerepek, tuala dan telekung.

Pada masa sama, mereka juga teruja kerana ia adalah perjalanan yang agak jauh membabitkan lima kereta berkonvoi ke utara.

“Lega sungguh hati apabila dapat menyerahkan sumbangan ini. Ia adalah tanggungjawab dan amanah yang mesti dilakukan sebaik mungkin,” kata Norhayati Berahim yang bertindak sebagai bendahari penganjur Kembara Ukhuwah.


“Selain empat ahli utama, 11 orang lagi turut serta dan antaranya ialah sahabat pe�nyumbang yang kami kenali daripada laman sosial yang sejak awal lagi mengikuti perancangan kembara ini,” tambah Norhayati yang turut membawa suami, anak dan pembantunya sekali.


Kembara berkenaan dirancang pada akhir Jun lalu dengan menyasarkan tiga kutipan bagi diserahkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Ummu Sofiah di Trong, Pantai Remis; Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat, Mata Ayer, Kangar serta projek perpustakaan di rumah anak-anak yatim oleh Iskandar Syah Ismail (drbubbles.blogspot.com).

“Walaupun sasaran awal kami lebih kecil iaitu mengumpul dana sekitar RM12,000 untuk ketiga-tiga nama di atas dalam masa tidak sampai sebulan, alhamdulillah kami mencapai sasaran malah mendapat jumlah lebih. Daripada penderma yang prihatin itulah kami dapat antaranya memberi sumbangan untuk berbuka dan bersahur bersama Rumah Ummu Sofiah dan Teratak Rahmat serta membeli baju raya, kuih raya, duit raya kepada anak-anak yatim dan kakitangan selain sumbangan kepada rumah itu sendiri,” kata pengerusi penganjur, Norazlina Yusof.

Menurutnya, penderma terdiri daripada rakyat seluruh negara termasuk Sarawak dan ada penderma dari luar negara seperti Melbourne.

Kebanyakan penderma mengetahui mengenai program berkenaan setelah membacanya di Internet dan akhbar.

Katanya, program bermula dengan konvoi lima kereta ke Trong pada pagi Jumaat, 12 Ogos lalu untuk ke destinasi pertama mereka, Rumah Ummu Sofiah.

“Di sini kami tiba pada waktu tengah hari, terus bersua dengan anak-anak yatim dan kemudian melawat projek perpustakaan Iskandar Syah yang sudah siap. Selepas rehat sebentar, kami berbuka, solat jemaah, Tarawih, moreh hinggalah solat subuh bersama-sama anak-anak ini. Kami tidur di bilik yang disediakan pihak Ummu Sofiah.

“Pengalaman dapat bersama mereka walaupun hanya sehari tetap merapat�kan hubungan di samping memberi kami gambaran bagaimana kehidupan seharian anak yatim di situ,” kata Norazlina.

Suasana yang cukup sederhana dan kena tidur beramai-ramai dalam keadaan kurang selesa tidak langsung membuatkan rombongan kembara terbabit mengeluh, malah ia umpama kenangan termanis buat mereka.

Sehingga lewat malam kerana keesokannya cuti, ada yang masih bersembang dengan anak-anak yatim.

Hari kedua pula selepas mengucapkan selamat jalan kepada anak-anak dan warga kerja Ummu Sofiah, rombo�ngan terbabit menuju ke Perlis pula bagi bertemu anak-anak di Teratak Rahmat.

“Di sini, selain menghantar kiriman sumbangan, kami berbuka, bersolat jemaah, Tarawih dan moreh bersama-sama. Menariknya, untuk moreh kami menikmati roti dan burger yang disediakan sendiri kakitangan Teratak Rahmat.

“Kami sangat bersyukur kerana pada bulan mulia ini, kami bukan hanya dapat menziarah sebuah malah dua rumah anak yatim dan setiap satu padat dengan pengisian sesuai demi kebaikan bersama,” katanya.

Selain mengucapkan terima kasih kepada pihak Ummu Sofiah dan Teratak Rahmat, Norazlina juga mengucapkan perhargaan kepada Iskandar Syah Ismail yang membantu mengenal pasti dua rumah itu serta menjadi jurupandu sepanjang kembara berkenaan.

Pegawai di syarikat swasta, Hartini Anuar, 35, menyertai ziarah terbabit bersama ibu�nya, Zabidah Abdul Rahman, 60.

“Saya bersyukur turut serta di dalam kembara ini kerana selain mendekati anak-anak yatim, saya juga dapat menge�nali kawan baru. Sekiranya ada peluang saya mahu turut serta lagi,” katanya.

Ibu Hartini, Zabidah memberitahu bagaimana dia sendiri yang mahu mengikuti kembara berkenaan atas semangat�nya mahu mendekati dan bermesra dengan anak-anak yatim.

Peserta kembara, Ronizan Mat Jusoh, 40, walaupun tidak terbabit dalam peranca�ngan awal, dia kemudian turut membantu persiapan seperti menyediakan beg hadiah untuk diberikan kepada anak-anak yatim dan kakitangan di situ.

Bagi Anita Mohd Sharkawi, 34, yang turut serta bersama suaminya, berasa pengalaman ziarah ke rumah anak yatim dan bermalam di Ummu Sofiah paling manis kerana dapat mengenali anak-anak di situ dengan lebih dekat lagi.

“Selain merasai sendiri kehidupan anak-anak di Ummu Sofiah. Ia juga sebagai motivasi diri sendiri agar lebih menghargai dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Banyak pengalaman dan pengajaran yang kami dapat dalam kembara dua hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: