Thursday, September 8, 2011

Pesakit ketumbuhan muka nekad cemerlang di UUM


Hong Siew Hui bersalaman dengan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak pada majlis pendaftaran pelajar baru di Sintok, semalam.


KUBANG PASU 7 Sept. - Penyakit ketumbuhan pada muka yang dideritai oleh Hong Siew Hui, 23, nyata tidak memadamkan semangatnya untuk meneruskan pengajian di universiti.

Siew Hui yang berasal dari Simpang Empat, Alor Setar merupakan antara 4,089 pelajar yang mendaftar di 15 Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini bagi meneruskan pengajian peringkat ijazah pertama.

Malah dia yang akan mengikuti jurusan kewangan, yakin dapat bersaing dengan penuntut lain walaupun menghidap penyakit itu sejak lahir lagi.

Akibat penyakit itu Siew Hui menderita kerana mata kirinya tidak dapat berfungsi, manakala mulut dan hidung menjadi senget.

Katanya, dia tidak pernah menjadikan penyakit itu sebagai penghalang untuk meneruskan pengajian di menara gading bagi mencapai cita-citanya.

"Setelah menjejakkan kaki di universiti ini, saya nekad untuk menamatkan pengajian sama seperti pelajar lain.

''Saya sudah bersedia untuk bersaing dengan pelajar lain biarpun terpaksa menanggung penyakit ini," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pendaftaran pelajar baru bagi sesi 2011/2012 di sini.

Siew Hui yang merupakan anak bongsu dari empat beradik turut ditemani ibu bapanya, Goh Jit Yang, 62, dan Hong Wah, 66.

Menurut Siew Hui, dia pernah mendapatkan rawatan penyakit itu di China pada 2006, namun belum pulih sepenuhnya dan masih menerima rawatan di hospital di sini.

Katanya, penyakit itu boleh dipulihkan menerusi pembedahan plastik yang menelan kos sekitar RM30,000.

''Namun ketika ini, saya hanya mahu memberi tumpuan kepada pelajaran dan menamatkan pengajian di UUM sebelum memikirkan untuk membuat pembedahan," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 4,089 pelajar yang mendaftar hari ini akan mengambil pengajian di Kolej Sastera dan Sains, Kolej Perniagaan dan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: