Saturday, September 24, 2011

Pengganti Volvo S80 2.5T




VOLVO Car Malaysia (Volvo Car) baru-baru ini memperkenalkan dua varian baharu iaitu Volvo S80 T5 Powershift dan T5 Exclusive Powershift yang menggantikan ketiadaan model S80 2.5T. Pengenalan dua varian ikonik Sweden itu bertujuan mengekalkan kedudukannya dalam tangga teratas dalam segmen tersendiri.

Menurut kenyataan Volvo Car, kedua-dua model tersebut menerima penambahbaikan pada aspek prestasinya.

Jentera S80 T5 Powershift dan T5 Exclusive Powershift berupaya menjana kuasa 240hp pada 5,500rpm dan tork sebanyak 320Nm pada 1,800 sehingga 5,000rpm. Berhubung penggunaan minyak, ia hanya memerlukan 8.3 liter untuk setiap 100 kilometer (km).

Kereta sedan empat silinder yang bersesaran 1,999cc itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan Powershift bersama ciri Geartronic. Hasilnya, ia berupaya memecut dari 0 km hingga 100km dalam tempoh 7.7 saat sahaja. Kelajuan maksimum pula mencecah 230km sejam (km/j).

Presiden Volvo Car, Goran Larsson berkata, S80 merupakan sedan premium Volvo paling mewah dalam pasaran ketika ini. Pihaknya optimis S80 mampu memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan sebuah jentera berkuasa tinggi, menjimatkan minyak dan berpenampilan mewah.

"Jika anda mahukan kenikmatan tanpa berlebih-lebih, prestasi yang sebenar dan keselamatan tanpa was-was, maka T5 ialah sedan yang tepat untuk anda," katanya.

Berhubung varian T5 Exclusive pula, ia dilengkapi dengan beberapa teknologi baharu Volvo. Antaranya Sistem Pengesan Pejalan Kaki (Pedestrian Detection) yang berupaya mengesan pejalan kaki di jalan raya.

Ia akan memberi amaran kepada pemandu dan akan membrek secara sendiri jika pemandu gagal membrek apabila menghampiri pejalan kaki. Ciri itu mampu memberhentikan kenderaan sekiranya kelajuan berada di bawah 35km/j.

Varian eksklusif itu juga sarat dengan pelbagai teknologi terkini Volvo yang lain seperti Amaran Perlanggaran dengan Brek Penuh Automatik (CWAB), Adaptive Cruise Control (ACC), Driver Alert Control (DAC) dan Lane Departure Warning (LDW).

Aspek luarannya turut diberi sentuhan. Ia meliputi emblem yang lebih besar pada gril serta kemasan krom di bahagian depan, belakang dan bahagian bawah pintu. Untuk ruang dalaman, ia membabitkan penggunaan material kulit dengan jahitan warna senada. Bahagian tengah panel pintu dihias dengan bingkai besi bagi menyerlahkan sifat ekslusifnya.

Model T5 memiliki butang-butang aluminium dan stereng empat jejari yang baharu. Stereng varian standard dibaluti kulit, manakala untuk T5 Exclusive, sterengnya dipasang dengan kemasan kayu.

Volvo S80 T5 ditawarkan pada harga RM268,000 seunit. Sementara T5 Exclusive boleh anda miliki pada harga RM295,000 sebuah (di atas jalan tanpa insurans).

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.volvocars.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: