Sunday, September 25, 2011

Misi cinta alam Aishah


Bersama rombongan sukarelawan Timberland yang menjadi nadi kepada projek hijaukan bumi di Horqin, Inner Mongolia, China.


DEMI cintakan bumi, aktres ini sanggup berpanas menanam kira-kira 1,000 batang pokok di kawasan padang pasir di Horqin, Inner Mongolia, China pada pertengahan Ogos lalu.

Pengalaman lapan hari bersama-sama 70 rombongan sebagai Earth Keepers bagi jenama pakaian lasak, Timberland itu masih segar dalam ingatannya.

Bagaimana aktiviti berpeluh itu pada bulan Ramadan dilalui penuh kesabaran. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa penat dahaga tatkala menyertai projek menanam pokok bermula 14 hingga 17 Ogos itu.

“Saya ketepikan semua rasa negatif itu dan fokus tanaman pokok semata-mata,” adu Aishah Sinclair membuka tirai perjalanannya sewaktu berada di Horqin, pada pertemuan baru-baru ini.

Duta Earthkeepers Malaysia ini memberitahu dia cukup risau keadaan cahaya mata, Soraya Ann, 2, kerana masih dalam tempoh penyusuan badan.

Anak hasil perkongsian hidup dengan suami, Sheikh Abdul Shahnaz itu juga membuatkan dirinya sentiasa diselubungi kerinduan.

“Saya jarang keluar daerah dalam tempoh terlalu lama sebab Soraya belum putus susu badan. Inilah kali kedua saya tinggalkan dia. Perasaan cukup berat apabila difikir semula.

“Namun, selepas menempuh keseluruhan proses penanaman pokok di sana, saya dapat rasa bahawa pengorbanan yang tidak seberapa daripada saya itu sememangnya berbaloi,” kata Aishah penuh optimis.

Mengulas tentang aktiviti pemilik nama Aishah Jennifer Mohamed Sinclair sepanjang berada di Horqin, wanita ini tersenyum lebar.

Ceritanya, dia bersama sukarelawan lain menyemai, membuat benteng, membersihkan kawasan pokok bersama penduduk setempat yang turut memberi sokongan.

Ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) ini juga teruja melihat usaha keras masing-masing untuk mengubah daerah Horqin yang mengalami situasi gersang pokok kepada hutan rimba.

Perlindungan alam sekitar itu dijadikan sasaran utama pihak Timberland yang turut berhajat untuk menanam dua juta pokok di lokasi yang sama dalam tempoh 10 tahun.

“Saya sangat teruja apabila dapat bekerjasama dengan Timberland untuk projek pemuliharaan alam sekitar. Terutama dalam menambah kesedaran kepentingan ekologi terhadap manusia.

“Memang kita tidak sedar tentang kepentingannya pada hari ini. Tapi, tindak tanduk kita pada hari ini pasti menjejaskan masa depan anak cucu kita pada masa akan datang,” ucapnya bersungguh-sungguh.

Dalam pada itu, wanita berusia 31 tahun ini juga memanjatkan kesyukuran bahawa tahap kesedaran untuk menghijaukan bumi pada masa sekarang ini bertambah baik.

Apabila kebanyakan syarikat korporat menganjurkan pelbagai aktiviti alam sekitar sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR). Sekali gus melahirkan lebih ramai sukarelawan dan pencinta alam di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: