Wednesday, September 7, 2011

Mesin cepatkan proses pengeluaran



MENGIMBAU kembali kenangan ketika mula-mula mengusahakan perusahaan kuih tradisional yang dilakukan secara kecil-kecilan di dapur rumah sejak 10 tahun lalu membuatkan Siti Hawa Md. Zin termenung seketika.

Dia terbayang kepayahan yang ditempuhi olehnya ketika itu sehingga terpaksa membanting tulang empat kerat seorang diri demi mencari pendapatan tambahan dan membantu suami.

Sudahlah terpaksa menahan panas berdiri seharian di tepi kuali dan api panas demi menghabiskan adunan 10 kilogram tepung, malah tuntutan tugas itu menyebabkan dia tidak boleh membuat kerja lain seperti mengemas, menjaga anak mahupun menguruskan tempahan kuihnya.

Menurut Siti Hawa, kaedah tradisional dalam menghasilkan rempeyek sebenarnya rumit dan memenatkan selain mengambil masa yang lama untuk memprosesnya.

“Kita yang memasaknya terpaksa ‘berdiang’ (berada dekat api) di tepi dapur untuk menggoreng snek yang sedap dan popular ini.

“Selain memenatkan, kaedah tradisional ini juga menyukarkan kita untuk mengambil tempahan dalam kuantiti banyak kerana guna tenaga yang tidak mencukupi dan terbatas oleh faktor masa,” kata ibu berusia 53 tahun itu.


TEKNOLOGI mesin yang diketengahkan MARDI dan ZullDesign banyak membantu pengusaha industri kecil dan sederhana.


Menurutnya, setiap kali menjelang musim perayaan kuih-muih tradisional memang menjadi pilihan walaupun pembuatannya agak sukar. Permintaan terhadap kuih-muih tradisional seperti rempeyek, baulu, kuih ros, karas dan lemang juga semakin meningkat.

Lebih mencabar, pembuatan secara manual biasanya tidak dapat menampung permintaan tersebut.

“Disebabkan tidak mampu menampung permintaan kuih yang semakin meningkat saya terfikir seketika mengenai kaedah terbaik untuk mengatasinya.

“Bagai pucuk dicita ulam mendatang, pada tahun 2003, hasil permohonan saya kepada Jabatan Pertanian dan inisiatif mereka saya berpeluang menjadi pengusaha yang juga perintis menggunakan mesin prototaip snek rempeyek di negeri Melaka ciptaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI),” kata ibu beranak empat itu.

Mampu penuhi permintaan

Pengenalan mesin ciptaan Pegawai Penyelidik di MARDI, Samsudin Ahmad, telah merubah dimensi perniagaan industri kecil dan sederhana serta proses membuat kuih tradisional dengan lebih baik dan efisien bagi Siti Hawa.

Sejak diperkenalkan dengan mesin memproses rempeyek, pengeluaran dan pemprosesan rempeyek pemilik syarikat SHMZ Enterprise itu berjaya meningkat sekali gus ia mampu memenuhi permintaan pasaran yang berkehendakkan kuih tradisional buatannya itu.

“Jika dulu, saya mengambil masa satu hari untuk pemprosesan 10 kilogram tepung bagi membuat rempeyek secara tradisional.

“Tapi sebaliknya dengan menggunakan mesin, saya hanya mengambil masa setengah hari untuk menyiapkannya,” katanya yang kini telah memasarkan produk rempeyeknya ke pasar raya Jusco di seluruh negara dengan jenama Sahajat.

Katanya, mesin kuih itu mampu menjimatkan masa memproses kuih, mengurangkan guna tenaga kerja, meningkatkan kuantiti penghasilan kuih dan meningkatkan penjualan produk.


ZULKIFLI (kiri) berbincang dengan pereka muda ZullDesign bagi merealisasikan reka bentuk mesin.


“Dengan ada mesin ini dianggarkan sebanyak 80 hingga 100 keping rempeyek dapat dihasilkan oleh seorang pekerja dalam tempok satu jam berbanding cara manual.

“Kita hanya perlu bancuh tepung dan sediakan kacang mengikut kesesuaian di dalam bekas mesin yang disediakan untuk dicelup oleh acuan rempeyek ikut kesesuaian sebelum digoreng,” katanya yang menyifatkan penggunaan mesin tersebut sangat berbaloi dan menguntungkan.

Menurutnya, mesin separa automatik lebih ringkas dan mudah digunakan tetapi ia memerlukan dua orang pekerja untuk mengendalikannya manakala mesin automatik hanya perlukan seorang pekerja dan beroperasi secara berterusan bagi kerja mengisi bahan mentah dan menggoreng.

“Mesin ini berupaya menghasilkan 3 hingga 4 kali lebih banyak. Maka, harga jualan dapat dikurangkan.

“Dari segi kualiti, ia kurang berminyak dan mempunyai warna yang lebih seragam. Dari segi rasa, tiada perbezaan yang ketara malah hasil yang dibuat menggunakan mesin lebih sedap,” jelas Siti Hawa lagi.

Pelbagai mesin

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

“Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

“Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan industri kecil dan sederhana ( IKS),” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, rempeyek, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

Nekad berhenti kerja

Sementara itu seorang pengusaha lain, Zaharani Abu Bakar, 49, yang menetap di Batang Kali, Hulu Selangor mula berkecimpung dalam perusahaan membuat sejak tiga tahun lalu dan mula menggunakan mesin moden pembuat kuih pada tahun 2010.

“Saya bertindak nekad berhenti kerja di Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada tahun 2009 dan terus memulakan perniagaan membekalkan bahan mentah untuk sebuah institut pendidikan di Kuala Kubu Bahru.

“Selain itu, saya cuba mencari peluang mengusahakan perniagaan kuih tradisional bagi meningkatkan pendapat seisi rumah secara kecil-kecilan,” katanya.

Lama-kelamaan, perusahaan kuih tradisional yang dijalankan Zaharani secara kecil-kecilan berkembang pesat ekoran khabar dari mulut ke mulut oleh para pelanggan yang berpuas hati.

Oleh itu, pembuatan kuih yang diusahakan Zaharani bertambah setiap tahun. Daripada modal permulaan sebanyak RM200, keuntungan sebulan perniagaannya kini mampu mencecah RM30,000 sebulan.

Justeru atas inisiatif sendiri, Zaharani cuba mencari penyelesaian terbaik untuk mengatasi jumlah permintaan kuih yang semakin bertambah dan tidak mampu dipenuhinya.

Kata Zaharani yang mula fokus dan serius mengusahakan kuih sejak 2010 itu, dia mula memikirkan untuk mendapatkan bantuan mesin membuat kuih bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat setiap hari terutama bulan puasa.

Ketika itu ramai yang mengesyorkan pelbagai idea termasuk menyarankan agar dia menemui pereka ternama tanah air, Zulkifli Haron, 52, dari syarikat Zull Design Autotronic.

“Sebelum ini memang saya ada terbaca di akhbar, Internet dan rancangan televisyen mengenai Zulkifli Haron tetapi, saya tidak tahu sama ada beliau juga mereka bentuk mesin dan peralatan untuk membuat kuih-muih tradisional dan moden," cerita ibu kepada empat orang anak remaja itu.

Memudahkan perniagaan

Setelah mendapatkan maklumat, Zaharani terus bergegas ke Rawang untuk bertemu dengan Zulkifli dan hasil perbincangan mereka terhasillah Mesin Memproses Pelbagai Kuih (Mepek).

“Saya hanya perlu gambarkan idea seperti yang dikehendaki manakala Zul akan berusaha untuk merealisasikannya. Dalam tempoh masa yang singkat, mesin yang saya gambarkan telah siap dibina. Ia sangat berguna dan telah banyak membantu memudahkan perniagaan saya,” katanya lagi.

Mepek yang dihasilkan Zull Design itu dijana kuasa angin (pneumatik) yang dihasilkan daripada pemampat elektrik yang dibekalkan bersama mesin tersebut.

Bergerak secara mekanikal, pengendali Mepek harus meletakkan adunan kuih secara manual dan mengawal mesin tersebut sehingga mendapat bentuk kuih yang dikehendaki.

Kata Zaharani yang kini menyewa sebuah kedai, dia membeli mesin Mepek ciptaan ZullDesign pada harga RM6,800 untuk memproses kuih seperti semperit, tart nanas dan muruku.

“Dengan mesin yang saya beli pada bulan empat 2011 ini, saya mampu menghasilkan kira-kira 30,000 biji kuih sebulan.

“Berbanding ketika tidak menggunakan mesin kuantiti kuih yang mampu dihasilkan jauh lebih rendah,” katanya yang kini menjalankan perniagaan di bawah syarikat Nifa Jaya Enterprise.

Tambahnya lagi, selain membuat muruku, tart nanas dan samprit, dia turut membuat kira-kira lapan kuih moden lain dan beberapa jenis makan sejuk beku seperti karipap dan daging kambing perap yang mendapat permintaan ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: