Friday, September 9, 2011

Masakan Arab di The Castle


Abdul Sattar E. Muhsin di hadapan restorannya.


KEPELBAGAIAN dalam masakan menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah destinasi yang terkenal dengan makanan dan minuman yang tersendiri termasuk masakan bertaraf antarabangsa.

Kebiasaannya, cita rasa masakan diambil daripada pelbagai budaya seperti masakan tradisional orang Melayu, Cina, India, Arab, Jepun dan Barat.

Melalui gabungan tersebut, masakan yang disajikan sudah tentu lebih enak dan bercita rasa unik.

Begitu juga dengan masakan Arab. Bagi yang meminati masakan padang pasir ini, apa kata singgah ke Restoran The Castle yang terletak di Plaza Berjaya, bersebelahan Times Square, Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Rasa sekali pasti nak lagi. Itulah yang dapat digambarkan tentang kelazatan masakan Arab.

Menghidangkan pelbagai jenis sajian, bermula dengan sup sebagai pembuka selera, diikuti masakan panggang, nasi beriani dan jus, penggemar masakan Arab terutama masakan kambing pasti berasa puas dengan keenakan serta kelazatan resipi dari Yaman itu.

Malah hidangan yang dimasak oleh chef didatangkan khas dari Yaman itu juga menggunakan rempah ratus bermutu dan berkhasiat.

Menawarkan pelbagai jenis masakan terkenal Arab, pengunjung tidak akan kecewa malah pastinya berpuas hati dengan menu yang dihidangkan bersama harga yang cukup berbaloi.

Pemiliknya, Abdul Sattar E. Muhsin berkata, pembukaan restoran tersebut adalah untuk memenuhi selera rakyat Malaysia yang gemarkan makanan Arab tanpa berbelanja besar.

"Di sini, kami menyediakan lebih 100 jenis masakan dan harga yang ditawarkan juga berpatutan yang bermula dengan RM5 sehinggalah RM25 seorang.

"Selain itu, apa yang kita mahukan ialah pelanggan itu merasa sendiri pengalaman menikmati keenakan masakan yang kami bawakan khas dari negara berkenaan," katanya ketika ditemui sempena pembukaan restoran tersebut, baru-baru ini.

Antara menu istimewa yang terdapat ialah nasi mandil ayam dan kambing, sandwich falafel, madghut kambing, hummus (celupan kacang kuda dengan minyak zaitun dan jus lemon), kebab dan banyak lagi.

Hidangan-hidangan lain ialah daging moulokhiya (daun moulokhiya yang dihidangkan bersama nasi dan daging kambing), shekh el mashi (terung berinti daging kisar), daging kambing atau ayam oqdah berperisa bawang putih dan digoreng bersama tomato.

Jelas Sattar, nasi mandil misalnya selain dimasak menggunakan beras basmati, ia dimasak secara tradisional bagi memastikan ia kualitinya terjamin.

Boleh memuatkan sehingga 100 pelanggan pada satu masa, restoran tersebut turut dilengkapi dengan perabot serba mewah dan kemasan kayu jati yang memberikan deria anda pengalaman menakjubkan.

"Selain menerima pelanggan yang ingin menjamu selera setiap hari, kami turut menerima tempahan untuk mengadakan pelbagai jenis jamuan atau keraian termasuk majlis perkahwinan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: