Monday, September 5, 2011

Makna raya bagi Irma


BIARPUN penat, Irma tetap melayan dan bermesra dengan anak-anak yatim yang diraikan pada majlis yang dianjurkan Walid Gold di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor.


KEHADIRAN Syawal pastinya akan memberikan erti apabila dapat meluangkan masa pulang ke kampung untuk bersama dengan keluarga.

Pastinya, aktiviti pagi raya akan dimulakan dengan menjamah rendang dan ketupat sebelum bersama bergerak menuju ke masjid atau surau terdekat bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Justeru itu, sebaik pulang dari mengerjakan solat dua rakaat itu, lembaran Syawal diteruskan dengan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Sama seperti insan lain, aktres jelita Irma Hasmie mengakui rutin Syawalnya saban tahun tidak banyak berbeza dengan insan lain.

Baginya, detik meraikan Syawal akan lebih bermakna apabila dia dapat bersama dengan keluarganya.

"Sama seperti tahun lalu, dua hari sebelum Syawal saya pulang ke rumah ibu dan ayah di Sungai Buluh, Selangor.

"Di situlah tempat saya dan adik-adik yang lain berkumpul meraikan hari kemenangan kita dalam menempuhi ujian Ramadan," jelas Irma memulakan bicara ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Walid Gold bersama anak-anak yatim di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Bagaimanapun tambah Irma, rutin hari rayanya sedikit berbeza sejak arwah datuk dan neneknya kembali ke rahmatullah.

Ujarnya, semasa datuk dan neneknya masih ada dahulu, mereka sekeluarga akan berkumpul di rumah datuk dan neneknya itu.

"Dahulu kami sekeluarga akan pulang berhari raya di rumah datuk dan nenek. Tetapi apabila mereka sudah tiada kami akan berkumpul dahulu di rumah ibu bapa saya.

"Selepas itu barulah kami akan bersama-sama mengunjungi rumah sanak-saudara yang lain untuk sama-sama berhari raya," bicara anak sulung daripada enam beradik itu.

Jelas Irma yang kelihatan ayu dengan penampilan terbarunya, biarpun datuk dan neneknya sudah tiada, tradisi berkumpul bersama dengan sanak-saudaranya tetap diteruskan.

"Kami tetap bersama berkumpul, cuma lokasinya sahaja yang berbeza iaitu kami akan bergilir berkumpul di rumah adik beradik ibu dan ayah saya.

"Lagipun tiada masalah untuk kami semua berkumpul memandangkan makcik dan pakcik saya tinggal di sekitar Lembah Klang sahaja," ujar pemegang watak Qistina dalam drama Kasih Alia yang sedang ditayangkan TV3.

Bercerita mengenai persiapan rayanya, Irma memberitahu, dia bertuah kerana pakaian untuk hari raya ditaja oleh EZE Fashion.

"Namun biarpun mendapat tajaan, ada juga sehelai dua pakaian baru yang saya beli sendiri," jelas Irma lembut sambil senyuman terukir di bibirnya.

Sementara itu, bercerita berkenaan Ramadan kali ini, Irma akui begitu tenang sepanjang mengerjakan ibadah puasa.

Malah, jelas Irma, dirinya menjadi semakin teruja dan tidak sabar-sabar menanti kehadiran Ramadan kali ini dan sering berdoa agar Ramadan memberikan seribu hikmah buatnya.

"Cukuplah dengan kelalaian sebelum ini di mana saya lupa untuk mencari fadilat yang diturunkan dalam bulan yang penuh mulia ini.

"Saya leka dan jahil sebelum ini tetapi saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dengan Ramadan sekali lagi.

"Lagipun Ramadan bukannya selalu hadir untuk menemui kita, setahun hanya sekali dan itu pun sebulan sahaja.

"Jadi saya mengambil kesempatan yang diberikan untuk bertemu dengan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya," jelasnya.

Menyambung bicara, Irma turut mengakui bahawa dirinya kini semakin selesa dengan kehidupan barunya.

"Saya merasakan begitu selesa dengan kehidupan yang dilalui kini dan berharap agar saya terus diberi petunjuk dan rahmat dari-Nya," ujar Irma sebelum menamatkan pertemuan malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: