
Sementara itu Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara (PDN), Datin Omi Habibah Shariff berkata, kebanyakan buku-buku terbitan pihaknya terutama yang melibatkan Transformasi 1Malaysia kini menjadi cenderamata untuk majlis-majlis rasmi kerajaan dan turut diedarkan di perpustakaan dan hotel bertaraf lima bintang.
Kesemua penerbitan buku itu menggunakan dwi bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan sebahagiannya adalah bersifat edisi terhad. Antaranya yang terkini buku Perdana Menteri berjudul Najib Tun Razak: Meneroka Perubahan Memperkasa Pencapaian (Najib Tun Razak: Chanting Malaysia Transformation) yang diedarkan Ogos lalu.
Menurut beliau, pada awal penubuhannya pada 1945 iaitu era pasca sebelum Merdeka, penerbitan lebih bersifat risalah dan propaganda selain menerbitkan majalah Sinar Zaman pada era 1970-an.
Sinar Zaman dijual pada harga 50 sen sebelum disubsidikan oleh kerajaan dengan harga 30 sen sebagai galakan kepada rakyat untuk memupuk minat membaca.
Masih diterbitkan sehingga kini namun ia kini dikenali Mentari dan diterbitkan tiga kali setahun dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil.
"Sebagai sebuah perkhidmatan sokongan kepada kempen-kempen kerajaan, kita menyediakan bahan-bahan penerbitan yang bukan sahaja untuk rakyat tetapi juga para pegawai atau penceramah," ujarnya.
Menghasilkan kira-kira 150 tajuk penerbitan setiap tahun dengan kuantiti sebanyak tiga juta naskah termasuk buku dan risalah, beliau berkata, sekiranya berlaku pilihan raya umum maka angka tersebut akan naik berkali ganda.
Kesemua bahan-bahan penerbitan itu dimuatkan dalam Portal Maklumat Rakyat 1Klik dan sememangnya ia merupakan bahan-bahan popular di kalangan penyelidik, pensyarah dan penuntut.
Beliau menegaskan, setiap penerbitan bahan-bahan itu dewasa ini tidak lagi berbentuk propaganda atau terlalu bersifat kerajaan.
"Yang ingin kita salurkan adalah maklumat semasa yang tepat mengenai dasar-dasar negara dengan cara paling mudah dan difahami tanpa menjadikannya terlalu bersifat kerajaan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: