Wednesday, September 7, 2011

Lapan jenis biskut raya Ana


ROHANA menunjukkan sebahagian kuih yang dikeluarkan di kilangnya di Simpang Renggam, Johor baru-baru ini.


ADAT berniaga kadang-kala untung, kadangkala rugi. Bagi yang tidak cekal atau tidak memiliki keazaman yang tinggi, situasi tersebut mungkin dijadikan alasan untuk terus menyerah kalah. Namun, tidak bagi usahawan biskut industri kecil dan sederhana (IKS), Rohana Ghazali.

Wanita berusia 54 tahun itu pernah mengalami detik paling mencabar dalam hidupnya apabila mengalami kerugian yang bukan sedikit nilainya.

Namun, ia tidak pernah dijadikan sebagai penghalang untuk terus mencuba bagi mengecap kejayaan.

Hasilnya, Rohana yang lebih senang dipanggil Ana kini boleh berbangga apabila dilabel sebagai salah seorang usahawan biskut raya yang berjaya. Saban tahun, Ana yang mengusahakan biskut raya di Kampung Pinggir, Simpang Renggam, Johor tidak menang tangan menerima tempahan sehingga terpaksa menambah kakitangan untuk membantu.

Menurut Ana dia bersyukur kerana masih mampu untuk meneruskan perniagaan yang amat digemarinya itu meskipun suatu ketika pernah terlintas di fikirannya untuk berhenti gara-gara menanggung kerugian.

“Kerugian paling besar yang pernah saya alami ketika musim perayaan Aidilfitri tahun 2009. Semuanya gara-gara karenah pelanggan yang tidak jujur. Ketika itu, saya menerima tempahan biskut raya hampir 10,000 balang tetapi selepas tempahan tersebut siap, pelanggan pula memberi banyak alasan untuk tidak mengambil tempahan biskut.

“Ada pula yang ambil tetapi tidak bayar dan ada juga yang sudah ambil tetapi dipulangkan semula apabila tidak habis dijual. Ketika itu, saya mengalami kerugian yang bukan sedikit. Sampaikan banyak biskut-biskut saya akhirnya terpaksa dibuang begitu sahaja,” ceritanya yang mengimbau kenangan ditipu pembeli.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu juga mengakui, selepas insiden tersebut, dia berbelah-bahagi untuk meneruskan perniagaan membuat biskut pada musim perayaan seterusnya. Namun, demi minat, dia berazam untuk meneruskan juga meskipun sedar dia mungkin mengalami kerugian sekali lagi.

Belajar daripada pengalaman, Ana lebih berhati-hati dalam menguruskan perniagaan dan menerima tempahan. Menurut Ana, dia kini fokus terhadap biskut yang benar-benar mendapat sambutan setiap kali tiba musim perayaan.

“Untuk tahun ini, saya hanya membuat lapan jenis biskut raya yang mendapat sambutan paling tinggi selain lebih bertegas terhadap pelanggan yang ingin membuat tempahan dalam kuantiti yang banyak.

“Saya juga lebih selesa membuat jualan sendiri terus kepada pengguna. Dengan cara ini, pengguna dapat membeli biskut dengan harga yang lebih rendah dan saya sendiri tidak perlu risau mengenai kerugian.

“Tahun ini saya telah membina sebuah kedai di hadapan rumah untuk membolehkan pelanggan membeli terus daripada kami pada harga borong,” katanya.

Menurut Ana, antara biskut yang menerima sambutan tertinggi antaranya makmur, tat, dahlia, gajus cornflakes, suji Brunei, almond London dan juga semperit.

Ana yang turut menjalankan perniagaan menjual murtabak segera menjelaskan, pada hari biasa dia hanya memerlukan dua orang pembantu tetapi dua bulan sebelum Ramadan, dia terpaksa menambah bilangan pembantu bagi memastikan semua tempahan siap dibuat dalam masa ditetapkan.

“Jika hari biasa, saya hanya dibantu oleh dua pekerja tetap tetapi, menjelang musim perayaan, saya terpaksa mendapatkan pekerja tambahan bagi membantu menyiapkan tempahan.

“Pekerja saya pula terdiri daripada penduduk kampung sendiri kerana niat saya ingin membantu mereka mendapatkan pendapatan tambahan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” jelas Ana yang agak bertuah kerana turut disokong suaminya, Ab. Rahim Nordin dan seorang daripada tiga anaknya.

Bagi yang berminat untuk membeli dan membuat tempahan biskut perusahaan ini terutamanya untuk dihidangkan sempena rumah terbuka tahun ini boleh datang sendiri ke kedainya di Batu 42, Kampung Pinggir, Simpang Renggam atau hubungi Rohana di talian 019-737 7912.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: