Wednesday, September 7, 2011

KPT kaji tambah universiti


MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menyampaikan watikah kepada Paul Chan (dua dari kanan) pada majlis pelawaan naik taraf Kolej Universiti HELP kepada Universiti HELP di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 6 Sept. - Kementerian Pengajian Tinggi sedang menjalankan kajian untuk melihat keperluan pertambahan beberapa buah lagi universiti baharu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah membangunkan kajian tersebut amat diperlukan untuk menjaga kualiti dan mengukuhkan sektor pengajian tinggi negara.

"Nisbah universiti dengan populasi rakyat di negara ini adalah satu nisbah 400,000 dengan kadar aksesibiliti sebanyak 40 peratus berbanding di Amerika Syarikat (AS) dengan kadar satu nisbah 200,000.

"Jadi, masih ada ruang untuk pertambahan beberapa universiti baharu berdasarkan nisbah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelawaan Naik Taraf Kolej Universiti HELP kepada Universiti HELP di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kolej Universiti HELP, Datuk Dr. Paul Chan.

Mohamed Khaled berkata, kajian itu juga diadakan untuk melihat keperluan pembukaan cawangan kampus dari universiti luar negara yang kian cenderung ke Malaysia.

Menurutnya, langkah itu adalah untuk memastikan universiti berkenaan membawa masuk program yang relevan untuk ditawarkan kepada para pelajar tempatan.

"Pada masa sama, kita juga sedang melihat perkembangan universiti-universiti tempatan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, kajian itu secara tidak langsung dapat memberi strategi baharu kepada pihak kementerian untuk melahirkan tenaga modal insan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Universiti Malaya (UM) kerana berjaya memasuki senarai 200 universiti teratas oleh QS World University Rankings untuk 2011.

"UM yang berada di kedudukan ke-167 berbanding 207 tahun lepas perlu berusaha untuk mengekalkan kedudukan tersebut.

"Dan untuk pertama kalinya juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara tersenarai dalam senarai 600 universiti teratas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: