Thursday, September 8, 2011

Ketabahan K Ebrahim

Benar kata orang, penantian itu satu penyeksaan. Justeru dek kerana terlalu menanti peluang untuk bergelar penyanyi dan mempunyai album sendiri, K Ebrahim nekad membawa diri.

Bagi K atau nama sebenarnya Ebrahim Kian Hing, 41, dia rela meninggalkan tempat lahirnya di negeri di bawah bayu November tahun lalu dan datang ke Kuala Lumpur demi melunaskan hasrat sebagai seorang penyanyi.

Nyata percaturannya membuahkan hasil kerana tidak sampai setahun, K mampu tersenyum kerana sudah mempunyai album mini sendiri iaitu Gurau Senda Di Pagi Raya, memuatkan empat lagu bertemakan hari raya dihasilkan khas sempena sambutan hari raya pada tahun ini.

“Memandangkan ketika umat Islam bakal menyambut Aidlifitri, saya dan syarikat produksi, A&R Production sepakat memilih konsep raya sempena raya pada tahun ini.

“Ini adalah percubaan pertama saya dan syarikat dalam proses memperkenalkan suara saya kepada pendengar. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan album saya turut dipasarkan di Sabah kepada kenalan yang banyak menyokong saya dari dulu lagi.

“Sememangnya saya lebih berminat dengan konsep tradisional dan genre itu akan dimasukkan dalam single yang akan datang,” katanya yang bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi.

Meskipun sudah berusia 41 tahun, K percaya ia tidak menjadi penghalang buatnya untuk mengejar cita-cita yang selama ini telah diimpikannya.

“Walaupun umur saya sudah menjangkau 41 tahun, namun masih belum terlambat untuk saya dikenali sebagai penyanyi kerana usia bukanlah penghalang.

“Apa yang penting ialah bakat dan usaha yang tidak pernah pudar. Muzik adalah sesuatu perkara yang tidak mempunyai sempadan dan karya kita akan terus diterima selagi ianya bermutu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: