Saturday, September 24, 2011

Kesulitan bukan penghalang


DR. Mohd. Zin Kandar bersalam dengan Datuk Bandar Jabaliya, Dr. Essam Judah yang merasmikan pembukaan kilang roti kerjasama dengan Malaysia sambil diperhatikan Pengerusi Persatuan Islam Jabaliya, Abdalrahim M. Shehab (kiri) di Gaza.


PERISTIWA malang yang menimpa jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Noor yang terbunuh akibat terkena peluru di Mogadishu, Somalia baru-baru ini sangat menyentap perasaan seluruh warga dunia.

Lebih-lebih lagi kepada warga sukarelawan terutama 11 anggota pertubuhan Aqsa Syarif Malaysia yang menjayakan misi bantuan kemanusiaan Aqsa 2 Gaza 2 (A2G2) selama lapan hari dari 20 sehingga 28 Ogos lalu.

Kepulangan mereka yang beberapa hari kemudiannya disambut dengan peristiwa malang yang menimpa arwah Noramfaizul itu.

"Tak sangka Mogadishu sama atau lebih bahaya keadaannya dari Gaza. Kami benar-benar terkejut dan sangat sedih dengan kejadian tersebut kerana perasaan dan keadaan yang sama kami alami sepanjang berada di Gaza.

"Bayangkan selama di Gaza iaitu dari 21 sehingga 25 Ogos, terdapat lapan serangan dilakukan oleh tentera rejim Israel terhadap Gaza yang menyebabkan 15 syahid, 40 cedera termasuk orang tua dan kanak-kanak," kata Ketua Misi A2G2 kali ini, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor berkata, daripada aspek keselamatan sepanjang di Gaza, mereka dikawal ketat dan sentiasa diperhatikan.

"Malah hotel yang menjadi tempat penginapan kami dikawal rapi di sekeliling bangunan sepanjang tempoh 24 jam walaupun anggota misi Aqsa Syarif sahaja yang menginap di situ," jelasnya.

Begitupun beliau yakin sebagaimana warga sukarelawan yang lain, perjuangan memberi bantuan kemanusiaan di medan-medan perang dan zon konflik terutamanya Gaza dan seluruh negara Palestin tetap diteruskan.

Kejadian yang menimpan jurukamera Bernama Tv itu sedikit pun tidak tergugat semangat mereka, malah katanya, untuk misi seterusnya Aqsa Syarif akan tetap membawa bersama mereka akan rakan-rakan dari media.

"Sebenarnya bencana kemanusiaan yang berlaku di Somalia mudah untuk kita tangani jika kita mencipta kejayaan di bumi Palestin dan membebaskan bumi anbia itu daripada cengkaman Israel.

"Malah bekas anggota Parlimen British yang juga seorang sukarelawan yang sangat komited terhadap isu-isu Asia Barat dan Palestin, George Galloway tegas berpendapat bahawa isu Palestin merupakan pusat kepada masalah Muslim di seluruh dunia.

"Selesai masalah di Palestin tumpuan tentunya boleh diberikan kepada dunia Islam yang lain," kata Mohd. Zin.

Yang perlu dibebaskan terlebuh dahulu adalah bumi anbia yang padanya terdapat sebuah masjid yang ketiga paling suci di dunia.

Namun, pada masa sama bantuan dan pertolongan kepada negara-negara Islam yang menghadapi apa juga masalah dan konflik juga tidak akan dilupakan.

"Ini juga sebagai menjawab mengapa tumpuan begitu diberikan terhadap Palestin. Sedangkan Somalia yang hampir 99 peratus penduduknya adalah Islam sangat memerlukan bantuan," katanya.

Namun Mohd. Zin dan anggota misi yang lain menempuh satu perjalanan yang tentunya tidak mudah bagi menyampaikan bantuan bernilai RM1.5 juta kepada penduduk Gaza yang terkepung akibat tekanan kerajaan Zionis Israel.

"Jika Mogadishu kita dengan mudah boleh mendarat di lapangan terbangnya, berbeza dengan Gaza yang tidak ada laluan masuk kecuali terpaksa menempuh padang pasir dan sekatan keselamatan kerajaan Mesir di pintu sempadan Rafah.

"Walaupun kepimpinan kerajaan Mesir telah bertukar tangan, namun soal keselamatan yang sangat ketat di pintu sempadan, masih juga seperti dahulu," katanya.

Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Cabaran menahan lapar dan dahaga ditambah persekitaran yang agak berdebu dan pasir yang berterbangan dan sebaik sahaja memasuki Bandar Gaza yang sangat terdedah kepada serangan Zionis maka seluruh misi ini dilihat seperti mustahil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: