|
SEPASANG mata milik kuda lumba bernama Roxy Star itu kelihatan lemah dan tidak bermaya. Sebaik Dr. Shri Kanth menekan-nekan bahagian belakang kuda berwarna coklat tua itu, haiwan tersebut mendengus kuat sambil menggerak-gerakkan badannya.
Kakinya juga sedikit terangkat menggambarkan kesakitan yang dirasai. Tanpa menghiraukan reaksi spontan Roxy Star, doktor haiwan berusia 38 tahun itu tetap meneruskan tugasnya memeriksa kuda tersebut.
“Kuda ini mengalami sakit di bahagian belakang badan. Bila saya sentuh sedikit sahaja uratnya, ia memberi respons yang menunjukkan kesakitan.
“Justeru, sakit yang dialami kuda ini perlu dirawat. Jika tidak ia akan berlarutan dan memberi kesan buruk pada kerjayanya sebagai kuda lumba,” terang Dr. Shri sambil tangannya mengusap badan kuda itu.
Berusia hampir enam tahun, Roxy Star merupakan antara kuda lumba yang berada di bawah seliaan Dr. Shri selaku Doktor Bedah Veterinar Kanan di Pusat Ekuestrian dan Sukan Selangor Turf Club (STC).
Ujarnya, setiap kuda yang digunakan untuk berlumba perlu cergas seratus peratus, bukan sekadar pulih 80 atau 90 peratus. Sekiranya kecergasan haiwan itu mencapai tahap maksimum barulah mereka akan dibenarkan kembali beraksi.
Jenis-jenis penyakit
![]() |
| PENGALAMAN selama lebih 14 tahun membolehkan Dr. Shri mengetahui jenis kesakitan yang dialami oleh mamalia ini hanya dengan sekali sentuhan. |
Pengalaman selama 14 tahun dalam bidang ini membolehkan doktor kelahiran Ipoh, Perak itu mengetahui jenis-jenis penyakit yang dihadapi oleh kuda-kuda di bawah peliharaan STC dengan sekali sentuhan sahaja.
Sebaik menyedari jenis kesakitan yang dialami Roxy Star, Dr. Shri pantas mengarahkan pembantunya, Irwan Mohamed menyediakan peralatan untuk menjalani rawatan akupunktur bagi kuda tersebut.
Sebanyak tiga batang jarum bersaiz sederhana digunakan bagi rawatan berkenaan. Menurut Dr. Shri bagi kaedah rawatan akupunktur, mereka boleh memilih sama ada menggunakan jarum suntikan biasa mahupun jarum khas akupunktur.
“Bagi saya tiada perbezaan antara jarum suntikan dengan jarum akupunktur. Apa yang penting, jarum yang digunakan itu boleh sampai ke bahagian hujung urat haiwan tersebut. Kesan rawatan akupunktur pada kuda amat pantas.
“Kesakitan yang dirasai oleh setiap ekor kuda akan hilang sebaik sahaja jarum yang ditusuk pada badan mereka dicabut semula. Tetapi, jika sakit itu tidak hilang ini bermakna anda telah menusuk jarum ke tempat yang salah,” jelasnya lebih lanjut.
Akupunktur merupakan satu bidang tambahan dalam perubatan tradisional Cina (TCM). Kaedah perubatan itu sudah berusia ribuan tahun.
Bagi Dr. Shri pula, dia sudah mempraktikkan rawatan akupunktur pada kuda-kuda yang sakit sejak 12 tahun yang lalu. Tambahan pula, menerusi kaedah tersebut, ia membolehkan kita melihat kesan yang dialami haiwan itu serta-merta kerana ia melibatkan urat.
![]() |
| JARUM akupunktur akan dicucuk pada bahagian yang sakit. |
Di sebalik kejayaan yang dicapai Dr. Shri dalam memberi rawatan terbaik kepada kuda-kuda yang dimiliki oleh STC, kerjaya yang dipilih itu sebenarnya berisiko tinggi kerana ia mampu mencederakan dirinya.
Menjadi mangsa tendangan kuda yang sedang dirawat sudah menjadi perkara biasa bagi bapa kepada dua cahaya mata itu.
Malah, dia juga kerap dimasukkan ke hospital kerana kecederaan teruk lantaran kemalangan yang dialami dalam proses merawat kuda-kuda yang sakit.
“Benar, kaki dan tangan saya sudah banyak kali patah akibat insiden disepak atau ditendang kuda. Namun, ia bukan penghalang untuk meneruskan kerjaya yang amat saya cintai ini,” tegas Dr. Shri sambil menyifatkan kerjaya sebagai doktor haiwan merupakan kerjaya berkolar biru, bukan berkolar putih.
Tambahnya, kes-kes yang melibatkan seseorang ditendang atau dipijak kuda berlaku apabila kita tidak memahami perangai kuda tersebut.
Ujarnya, ramai yang tersalah anggap apabila melihat ada kuda yang nampak sangat baik tetapi sebenarnya amat agresif dan ada pula kuda kelihatan agresif namun lebih bersifat tenang.
“Kuda sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat mendalam dengan penjaganya. Mereka juga ada zon selesa yang tersendiri di sekelilingnya. Jangan terperanjat jika saya katakan haiwan ini sebenarnya sangat penakut berbanding lembu atau kerbau.

“Walaupun fizikal mereka kelihatan gagah dan tangkas, tetapi kuda boleh dikategori sebagai haiwan berhati kecil,” ungkap Dr. Shri sambil tersenyum lebar.
Perkara ini diakui oleh Irwan, pemuda berusia 36 tahun yang bertugas sebagai pembantu veterinar di STC sejak enam tahun lalu dengan mengatakan kuda adalah haiwan yang mempunyai bermacam-macam perangai.
Meskipun pengalaman yang ada dalam dirinya masih terlalu hijau jika dibandingkan dengan Dr. Shri, tetapi anak kelahiran Kuala Lumpur tetap mempunyai pandangannya sendiri terhadap kuda.
Ragam kuda
“Seperti manusia yang hidup penuh dengan pelbagai ragam, begitu juga mamalia dengan nama saintifik Equus ferus caballus ini.
“Contohnya kuda yang digunakan untuk berlumba bersifat lebih liar, lasak dan sukar dikawal berbanding kuda endurance yang dikenali dengan sifat tenang.
“Cuma, ia bergantung kepada cara kita dalam menilai perangai haiwan tersebut,” katanya sambil mengaut tompokan najis yang ditinggalkan Roxy Star dan seekor lagi kuda yang dirawat bernama Carta Sempurna.
Bergelumang dengan keadaan bau busuk najis kuda sudah menjadi rutin Irwan yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Bagi menjaga kuda-kuda di bawah peliharaan Kelab Lumba Kuda Selangor (STC) daripada dijangkiti sebarang penyakit, pihak pengurusan akan memastikan haiwan-haiwan itu diberi suntikan vaksin tertentu.
Pengurus Besar STC, Term Boon Keng berkata, setiap ekor kuda akan diberi ubat cacing dan suntikan vaksin bagi mencegah mereka daripada menghidap apa-apa penyakit.
“Biasanya penyakit yang dialami haiwan ini termasuklah Japanese Encephalitis (JE) dan Equin Influenza. Namun, sehingga kini kami tidak pernah berdepan kes-kes penyakit berskala besar yang berkaitan dengannya.

“Jika ada kuda yang sakit, doktor veterinar yang bertugas akan memastikan haiwan itu dikuarantin dan dirawat hingga sembuh sebelum boleh bergaul dengan kuda-kuda lain seperti biasa,” tutur Boon Keng.
Tambahnya, pemakanan kuda di STC sentiasa dijaga baik dan haiwan-haiwan itu hanya diberi makan makanan khas yang diimport.
Malah, setiap pelatih kuda mempunyai carta pemakanan sendiri berdasarkan saranan yang diberi oleh pegawai veterinar yang bertauliah.
“Sementara itu, bagi kuda lumba yang kekurangan potensi untuk berlumba dengan baik, mereka akan dihantar ke bahagian ekuestrian untuk kegunaan pihak pengurusan di sana,” katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: