Sunday, September 25, 2011

Johan disunting Radio Era

Jika tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia pula pada nama atau kerjayanya. Siapa tidak kenal Johan. Pelakon dan pelawak ini semakin meniti nama dalam bidang seni. Johan atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim sudah mampu tersenyum apabila muncul dengan program kendaliannya iaitu, Edisi Khas, yang bersiaran setiap Selasa, jam 10 malam di TV3.

Biarpun tidak berjaya meraih gelaran juara Maharaja Lawak, Johan semakin dikenali sebagai pelakon. Tidak hanya itu, Johan disunting Radio Era sebagai penyampai radio di stesen berkenaan.

Mengendalikan slot Hujung Minggu di Era, sambutan yang diterima amat memberangsangkan. Malah dia kini semakin selesa menjalani kehidupan sebagai 'orang radio'.

“Saya hanya ke udara pada Sabtu, bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi. Saya seronok bersama Era FM dan sekiranya masih ada rezeki untuk saya, saya tidak menolak untuk terus bersama Era FM.

“Saya beruntung kerana isteri saya menguruskan semua jadual kerja saya. Saya juga berterima kasih kepada pihak Era kerana memberi kelonggaran kepada saya sekiranya saya ada penggambaran drama,” katanya.

Sudah sebulan bersiaran, Johan berharap pendengar suka dengan gaya dan lenggoknya ketika ke udara. Mengakui agak sukar mengendalikan konti secara sendirian, namun Johan sering bertanya bagi memantapkan dirinya sebagai penyampai radio.

"Saya juga perlu kreatif dan berkongsi maklumat kepada pendengar agar rancangan itu tidak hambar. Mungkin sesetengah orang menganggap tugas penyampai radio ini senang, sedangkan banyak perkara perlu diambil tahu.

"Banyak butang yang saya perlu belajar. Mula-mula agak pening, tapi sudah lebih tiga minggu, saya semakin selesa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: