Wednesday, September 7, 2011

Jejantas 'projek gajah putih'

SEGELINTIR pejalan kaki melintas jalan di bawah jejantas  BESRAYA, Sungai Besi.
SEGELINTIR pejalan kaki melintas jalan di bawah jejantas BESRAYA, Sungai Besi.
Pengguna lebih rela melintas enam lorong untuk ke seberang jalan

KUALA LUMPUR: Jejantas bernilai RM1 juta yang siap dibina berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai dan Pangsapuri Permai di Kilometer 8.3 Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di sini, pada Jun lalu seperti gajah putih kerana tidak digunakan penduduk, sebaliknya mereka lebih rela membahayakan diri melintas enam lorong lebuh raya berkenaan untuk ke seberang jalan setiap hari.
Dua tahun lalu, keadaan berbeza kerana penduduk di kawasan perumahan terbabit mendesak kerajaan menyediakan kemudahan itu kerana bimbang dengan keselamatan mereka terutama pelajar yang terpaksa menyeberangi lebuh raya berkenaan untuk ke sekolah mereka atau ke pekan Sungai Besi dan Stesen LRT.
Pembantu stor, Ahmad Syukran Mohd Yusuff, 32, berkata setiap hari beliau menunggu bas di perhentian berdekatan jejantas itu untuk ke pejabat dan dapat menyaksikan ramai penduduk tidak menggunakan kemudahan yang disediakan kerajaan itu.

Beliau berkata, dulu mereka desak kerajaan bina jejantas, tetapi selepas siap mereka tidak menggunakan kemudahan itu, sebaliknya sanggup membahayakan diri dengan melintas enam lorong lebuh raya berkenaan.

“Macam-macam alasan mereka buat. Mula-mula beri alasan jejantas sedia ada dibina terlalu jauh iaitu kira-kira 500 meter dari penempatan mereka dan kemudian mendesak kerajaan membina jejantas baru di kawasan lebih dekat.

“Selepas jejantas baru siap dibina, masih ramai yang seolah-olah tidak menyedari kewujudan jejantas itu,” katanya kepada Sentral, semalam.
Tinjauan Sentral semalam mendapati sekumpulan remaja sanggup membahayakan diri dengan melintas lebuh raya berkenaan tanpa menghiraukan kenderaan yang bertali arus walaupun jejantas yang disediakan berada hanya beberapa meter dari tempat mereka melintas.

Seorang pelajar sekolah yang enggan dikenali berkata, beliau tidak menggunakan jejantas itu kerana tidak mahu kepenatan mendaki tangga kerana selepas itu perlu berjalan jauh untuk ke Stesen LRT Sungai Besi.

“Penatlah nak daki tangga dengan membawa beg sekolah yang berat setiap hari, saya dan rakan akan menunggu masa yang sesuai sebelum melintas jalan raya yang sibuk ini.

“Setakat ini faktor keselamatan masih terjaga walaupun pernah beberapa kali ternampak penduduk yang hampir dilanggar akibat tidak menggunakan jejantas,” katanya.

Pada September 2009, Sentral melaporkan kesusahan ratusan penduduk terutama pelajar sekolah terpaksa menggadai nyawa dengan melintas BESRAYA semata-mata untuk mendapatkan khidmat pengangkutan awam dan ke sekolah di seberang jalan sejak penempatan dibuka pada 2004.

Konflik berterusan apabila jejantas yang sepatutnya siap pada Jun 2010 terpaksa ditangguhkan berikutan kegagalan kontraktor menyiapkannya.

Berikutan itu, tender kali ketiga terpaksa dibuat untuk melantik kontraktor dan akhirnya pada Jun tahun ini jejantas itu siap dibina sebelum dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk M Saravanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: