Wednesday, September 7, 2011

Jawablah!: Hubungan kami direstui

Ana Dahlia dan Nazri.
Ana Dahlia dan Nazri.
Ana Dahlia nafi dakwaan dirinya sudah berkahwin atau berstatus janda

TANPA diduga, pengakuan pasangan merpati dua sejoli iaitu pelakon Ana Dahlia dan Chef Nazri, yang juga anak kepada tukang masak selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mengenai musim bunga yang sedang mereka lewati ketika ini menerima maklum balas daripada khalayak dan juga peminat mereka di luar sana.
Ada yang memuji dan tak kurang juga menabur cerita kurang enak mengenai mereka. Entah dari mana datangnya cerita, tiba-tiba ada yang mendakwa hubungan Ana dan Nazri tidak direstui bapa si lelaki atas alasan Ana tidak jujur mengenai status dirinya.
Khabarnya, pelakon filem Mantra itu pernah berkahwin tetapi sekarang sudah menjanda. Namun sehingga kini, Ana tetap mengunci mulut dan gara-gara tindakannya itu, ramai yang menyangka semua cerita yang tersebar itu adalah benar.

Hip menghubungi Ana yang ketika ini sedang berada di lokasi penggambaran drama bersiri Metro Skuad.

Ketika persoalan itu diajukan kepada si empunya diri, Ana menafikan dakwaan kononnya dia seorang janda. Tegasnya, dia belum berkahwin dan berharap tidak ada lagi gosip yang sengaja ditimbulkan disebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak melihat kebahagiaan dirinya.

Hip: Betulkah dakwaan yang mengatakan Ana pernah berkahwin sebelum ini? Mengapa berahsia?
Ana:
Cerita yang mengatakan Ana sudah berkahwin dan bergelar janda sebenarnya cerita lama. Ana sendiri hairan mengapa cerita itu kembali diungkit di saat Ana sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang. Ana menegaskan bahawa Ana tidak pernah berkahwin ataupun bergelar janda seperti yang dihebahkan. Ana bukanlah hendak berahsia. Jika perkara itu benar, buat apa nak nak sorok. Tapi dalam hal ini, memang perkara itu tidak benar (dirinya janda atau sudah berkahwin).

Hip: Kalau tak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang. Mesti ada sebab mengapa cerita ini disebarkan.

Ana:
Sebenarnya malas hendak mengungkit kembali cerita lama. Perkara yang lalu, tak perlu diingat kembali. Memang sebelum ini Ana ada hasrat untuk mendirikan rumah tangga tapi perkara itu tidak berlaku. Disebabkan itulah ramai menganggap Ana sudah berkahwin. Lagipun perkara itu berlaku sebelum Ana menjadi artis lagi. Kalau boleh Ana harap khalayak di luar sana tak janganlah lekas percaya pada cerita yang tidak benar. Ana juga tak mahu cerita seperti ini memberikan impak yang tidak baik pada hubungan yang sedang terjalin ini. Penat kami menjaga hubungan ini dan berharap akan berkekalan selama-lamanya. Tak mahulah nanti disebabkan gosip ini, hubungan kami terjejas.

Hip: Khabarnya hubungan Ana dan Nazri tidak direstui Chef Wan adalah disebabkan Ana tidak jujur, kerana menyorokkan status sebenar.

Ana:
Itu juga tidak benar. Ana tidak pernah berahsia dengan Nazri atau Chef Wan mengenai apa saja yang berkaitan dengan Ana. Alhamdulillah, hubungan Ana dan Nazri memang mendapat restu Chef Wan dan keluarganya. Sepanjang hubungan kami, antara Ana dan Nazri lebih banyak fokus pada masa hadapan. Semua cerita lama kami tinggalkan. Biasalah, masing-masing ada cerita masa silam, jadi tak perlulah nak dikenang semula. Apa yang penting, kami jaga hubungan ini sebaik mungkin. Hari Raya yang lalu, Nazri juga datang beraya di rumah saya bersama mamanya. Chef Wan tak dapat datang kerana sibuk dengan persiapannya untuk ke luar negara.

Hip: Ada yang mengatakan Ana pilih Nazri kerana dia anak kepada Chef Wan, Selebriti Chef terkenal di Malaysia.

Ana:
(Sambil beristighfar) Ana tidak pernah memilih siapa jodoh Ana. Nazri menjadi pilihan kerana suka dengan sikapnya yang penyayang. Ana juga suka padanya kerana dia sangat berdikari. Dia tidak pernah menggunakan pengaruh bapanya untuk mendapatkan apa yang dia hajati walaupun dia boleh berbuat demikian. Kalaupun bapa Nazri orang biasa pun, Ana tetap akan terima dirinya seadanya.

Hip: Adakah ini bermakna Ana dan Nazri akan mendirikan rumah tangga dalam tahun ini juga?

Ana:
Rasanya tidak tahun ini. InsyaAllah tahun depan. Biarlah kami kumpul duit banyak-banyak dulu, barulah fikir soal hendak mendirikan rumah tangga. Kalau boleh kami tak mahu menyusahkan sesiapa bila nak kahwin nanti. Chef Wan juga ada nasihatkan kami supaya kumpul duit banyak-banyak sebelum kahwin. Tapi kalau duit sudah cukup, rasanya sekarang juga kami ingin mendirikan rumah tangga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: