Monday, September 5, 2011

Jaringan satelit pantau bencana


Dr. Nordin Ahmad mencuba teleskop yang digunakan di Balai Cerap, Planetarium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


FENOMENA bencana seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, banjir, kemarau dan kejadian tsunami tidak mungkin dapat dihalang. Namun manusia boleh meramal kehadirannya supaya mereka dapat bersedia.

Bersama teknologi canggih, kini manusia boleh menentukan kejadian bencana yang bakal berulang sekali gus mampu meminimumkan kehilangan dan kemusnahan harta dan nyawa.

Menyedari proses menangani masalah bencana tidak hanya tertumpu kepada satu-satu negara sahaja, kini seluruh dunia sedang bekerjasama ke arah tujuan tersebut.

Malah rantau Asia Pasifik juga tidak ketinggalan membina rangkaian perhubungan pengurusan bencana yang dikenali sebagai Sentinel Asia (SA) yang dianggotai negara-negara dirantau berkenaan termasuk Malaysia.

Jelas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, SA merupakan satu inisiatif kerjasama antara agensi-agensi angkasa dan organisasi pengurusan bencana yang amat strategik di rantau Asia Pasifik.

"Tujuan rangkaian ini adalah untuk menyokong segala kegiatan pengurusan bencana dengan berpandukan kepada teknologi angkasa dan ICT.

"SA beroperasi sejak Oktober 2006 dan dipimpin oleh Asia Pasifik Regional Space Agency Forum (APRSAF)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pasukan Projek Bersama Sentinel Asia (JPTM2011) kali keempat di Putrajaya baru-baru ini.

Pasukan Projek Bersama (JPT) ditubuhkan bagi membincangkan isu berkaitan operasi serta berkongsi pengalaman dan maklumat terkini mengenai penggunaan teknologi angkasa dalam pengurusan bencana.

Mesyuarat JPTM2011 kali ke empat itu telah dianjurkan oleh Angkasa dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Explorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA), Jepun.

SA merupakan satu rangkaian organisasi atau medium pengumpulan serta penyaluran maklumat bencana di antara kawasan Asia Pasifik dalam keadaan hampir kepada masa kejadian bencana tersebut berlaku.

Medium tersebut merupakan projek pemantauan bencana yang melibatkan penggunaan satelit komunikasi WINDS (Wideband InterNetworking Engineering Test and Demonstration Satellite) bersama rangkaian sistem maklumat geografi (Web-GIS).

Matlamat utama SA untuk menambah baik tahap ketepatan dan kepantasan tindak balas dalam sistem amaran awal bencana bagi meminimumkan kadar kematian dan kerosakan harta benda.

Menurut Fadillah, sehingga kini lebih 70 buah organisasi yang melibatkan hampir 24 buah negara di rantau Asia Pasifik telah menjadi ahli.

Antaranya Australia, China, India, Indonesia, Korea, Filipina, Singapura, Thailand, Taiwan dan sebagainya.

Bagi Malaysia, MKN dan Agensi Remote Sensing Malaysia merupakan ahli semasa dalam JPT manakala Agensi ANGKASA Negara masih dalam proses penyertaan menjadi ahli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: