Tuesday, September 6, 2011

James Bond, Cat Women dalam NORA

pix_gal0
100 pakaian sehari untuk teater muzikal yang bermula 29 September

LIUK lenggok pelakon dengan menggayakan busana menarik bukan saja menaikkan lagi karektor yang dibawa di atas pentas teater, tetapi fesyen yang digayakan turut mencerminkan jalan cerita yang hendak disampaikan.
Kecantikan dan keunikan rekaan kostum yang digayakan melahirkan rasa kagum kepada penonton dan itu yang akan diterapkan dalam pementasan teater muzikal The Secret Life Of Nora (NORA). Teater yang dipentaskan selama sebulan bermula 29 September ini memperagakan 100 pakaian hasil sentuhan 12 pereka muda tempatan.

Bagi menaikkan seri 35 pelakon teater muzikal itu, Akademi Fesyen Stylo International diberi tanggungjawab menyediakan rekaan busana. Malah, teater terbabit juga diangkat sebagai High Fashion Theater yang turut mendapat sentuhan pereka terkenal tempatan Bill Keith dan pereka dari Singapura.

Presiden Stylo International, Datuk Nancy Yeoh berkata, pakaian yang bertemakan era 60-an itu bakal menjadikan NORA sebagai teater pertama negara yang menggunakan banyak fabrik.

“Saya bangga Stylo dipilih bekerjasama dalam teater ini dan pereka muda kita akan menghasilkan rekaan yang unik serta penuh dengan warna sepanjang teater itu berlangsung.
“Bayangkan 100 pakaian digayakan dalam sehari dengan pelbagai rekaan dan warna fabrik menarik bagi menyerikan teater itu,” katanya.

Ketelitian dalam menghasilkan rekaan yang menarik memerlukan sentuhan daripada pakar, namun pemilihan 12 pereka muda itu dicungkil dalam pertandingan Mercedez-Benz Stylo Emerging Desingners 2011 pada April lalu.
Kesemua pereka itu akan dipantau oleh pereka, Cris Yong bagi menghasilkan pakaian pelakon. Manakala pakaian yang akan dipakai oleh watak Nora lakonan Tiara Jacquelina direka khas Bill Keith.

“Dalam menghasilkan rekaan yang menarik dan dapat ditukar dalam masa kurang 45 saat, kita memerlukan banyak pengalaman tentang fesyen dan pemilihan fabrik dan rekaan khusus. Disebabkan persembahan teater ini mengambil masa hampir sebulan jadi pakaian yang direka perlu tahan lama selain mudah ditukar oleh pelakon sepanjang persembahan berlangsung,” jelasnya.

Meskipun pernah menjayakan teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical tetapi bagi Presiden Enfiniti Vision Media, Datin Seri Tiara Jacquelina, teaternya kali ini bakal menampilkan kelainan dan keunikannya tersendiri.

Bahkan, Tiara mahu melihat teater NORA bakal meninggalkan kenangan menarik buat penonton serta mampu dipentaskan di luar negara.

“Ada banyak rekaan yang dihasilkan pereka ini dan kalau boleh semua saya nak semua tetapi tak boleh, sebab tempoh pementasan yang singkat akan menyukarkan pelakon untuk menukar pakaian.

“Saya sudah tengok lakaran kasar pakaian terbabit dan memang berpuas hati sebab semua yang dipilih memang cantik, unik dan menarik,” katanya.

Pakaian khas untuk perisik

BAGI menampakkan rekaan yang canggih dan unik untuk digayakan oleh Nora sebagai ejen perisik, pakaiannya direka dengan mengambil konsep dari filem Batman.

Bill Keith dipertanggungjawab bagi menghasilkan dua kostum menarik untuk Nora bagi menampakkan karektor seorang wanita yang berkuasa dengan busana mudah guna.

“Saya hasilkan dua pakaian utama Nora dengan dua karektor berbeza daripada seorang penari kepada ejen perisik. Saya ambil konsep Cat Women dalam filem Batman selain idea daripada filem James Bond bagi menampakkan pakaiannya sebagai seorang ejen perisik,” katanya.

Malah, kostum yang akan digayakan Nora nanti juga mirip pakaian yang dipakai John Crawford dalam filem Mission Impossible.

Pakaian itu juga diterapkan elemen misteri, kepintaran dan licik yang dapat menyembunyikan senjata atau aksesori dwi fungsi.

“Saya nak reka baju yang orang nampak biasa tetapi sebaliknya ia dwi fungsi seperti dalam filem penyiasatan barat ketika era 60 dan 70an.

“Saya akan bermain dengan banyak warna bagi menghasilkan rekaan yang menarik, menakjubkan dan memukau mata penonton,” jelasnya.

INFO

  • Teater muzikal The Secret Life Of Nora dipentaskan di IB daripada 29 September hingga 16 Oktober 2011

  • Harga tiket bermula daripada RM30, RM50, RM110, RM120, RM220 dan RM240.

  • Diskaun 20 peratus untuk pembelian awal bagi tiket berharga RM120 dan RM240.

  • Turut ditawarkan tiket untuk tempat duduk khas berharga RM350 dan RM450.

  • Diskaun 10 peratus untuk pembelian awal bagi tiket berharga RM350.

  • Tiket boleh ditempah atau dibeli secara talian daripada www.airasiaredtix.com atau telefon 03–87754666. Tiket juga boleh didapati di kaunter Box Office, Istana Budaya, hubungi 03-40265558

  • Tempahan pakej korporat dengan minimum 30 tempat duduk juga dialu-alukan.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: