Monday, September 5, 2011

Istimewa raya Alffian


SALAH seorang ibu saudara Alffian memberi duit raya kepada anak-anak buahnya.


SEJAK dari kecil lagi, Alffian Robert@Nordin, 22, merayakan ketiga-tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas, dan Tahun Baru Cina.

Semasa Aidilfitri, beliau dan seisi keluarga akan meraikannya di rumah nenek di sebelah bapa di Kampong Buang Sayang Bingkor, Keningau, Sabah. Manakala Krismas dan Tahun Baru Cina pula akan diraikan di rumah nenek sebelah ibunya.

Bagi Alffian yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Universiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dia bersyukur kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga besar campuran pelbagai etnik seperti Dusun, Bajau, Jawa, dan Cina.

Keakraban antara ahli keluarga disemai dengan semangat kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama.

Situasi ini melengkapkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri Alffian sekeluarga. Ini dapat dilihat pada hari raya pertama apabila semua ahli keluarga berkumpul bagi meraikan hari raya bersama-sama.

Seperti kebiasaannya di pagi raya, Alffian bersama ahli keluarga yang beragama Islam akan menunaikan solat sunat aidilfitri di Masjid Al-Taqwa, Keningau, Sabah.

"Aidilfitri semestinya budaya salam bersalaman memohon maaf di antara satu sama lain menjadi perkara wajib di pagi raya.

"Hari Raya turut diraikan bersama dengan pakcik dan makcik daripada agama lain yang turut bersama-sama meraikannya. Saya juga turut meraikan Tahun Baru Cina dan Krismas. Inilah yang berlaku dalam keluarga apabila turut meraikan tiga perayaan tersebut dalam satun tahun.

"Saya beruntung kerana mempunyai ibu dan bapa saudara yang penyayang dan memahami antara satu sama lain," katanya.

Alffian menambah, seperti kebiasaan dia dan sepupu yang lain akan berebut-rebut mengambil tempat untuk mendapatkan duit raya daripada bapa dan ibu saudara."Kehadiran mereka menyerikan lagi Hari Raya. Mereka diraikan bersama dengan pelbagai juadah masakan tradisional Sabah.

"Pada raya kali ini juga, saya menerima seorang saudara baru yang baru memeluk agama Islam. Ini menambahkan lagi kemeriahan didalam keluarga kami," katanya.

Menyentuh mengenai biskut kegemaran pula, Alffian menggemari biskut makmur dan almond London

"Apa yang membuatkan saya meminatinya adalah rasanya yang tidak sama seperti biskut-biskut yang ada di pasaran," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: