
DENGAR sahaja kepada judulnya pasti sahaja terlintas di kepala kita tentang filem terkenal dari Korea lakonan Shu Qi, My Wife Is A Gangster dan Mr. Mrs Smith lakonan pelakon terkenal Hollywood, Brad Pitt dan Angelina Jolie.
Ia tentang kisah pelik alam rumah tangga. Namun, filem Bini-biniku Gangster ini agak lari sedikit berbanding filem-filem yang disebutkan tadi. Apa yang menariknya, filem ini memaparkan dua wanita seteru yang menjadi madu.
Skrip filem ini juga turut ditulis oleh salah seorang pelakon utamanya, Yana Shamsudin yang sama sekali tidak menyangka akhirnya skrip yang ditulis secara suka-suka sejak tahun 2007 itu telah berjaya dipindahkan ke dalam sebuah filem dan akan ditayangkan mulai 22 September ini.
“Sebenarnya skrip asal filem ini saya tulis ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) lagi iaitu kira-kira 4 tahun lalu.
“Namun setelah saya simpan terlalu lama, saya menanam keinginan untuk memfilemkan skrip ini.
“Saya berjumpa dengan penulis skrip filem Gangster iaitu Fadzil Bahri Zahari untuk mencantikkan lagi skrip ini supaya menjadi filem aksi yang menarik maklumlah saya pun baru pertama kali menulis skrip filem, jadi banyak perkara yang perlu dipelajari.
“Alhamdulillah setelah berbincang dan mengolah semula skrip asal saya, saya pun cadangkan ke pihak MIG. Selepas tidak berapa lama pihak MIG menilai, skrip saya pun diterima," jelas Yana ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.
Menurut Yana lagi, idea skripnya itu adalah inspirasi daripada kisah benar seorang isteri yang membenarkan suaminya berkahwin dengan seorang perempuan lain.
“Tak perlulah saya beritahu siapa perempuan itu. Tetapi ketika mendegar ceritanya, saya bagai tak percaya wujudnya isteri yang terlalu baik sepertinya sehingga merelakan suami berkahwin lagi hanya kerana dia tidak dapat memberikan zuriat.
“Jadi saya kupas kisahnya dan mengolah menjadikan sebuah cerita yang lebih menarik. Saya jadikan watak isteri itu bukan seperti isteri biasa, tetapi sebaliknya seorang ahli gangster apabila suami keluar bekerja,” katanya lagi.
Sementara itu bagi Intan Ladyana, walaupun dalam filem ini dia bermadu dengan Yana, namun hakikatnya hidup bermadu adalah perkara yang paling tidak disukai baginya.
“Saya kalau boleh perkara seperti ini dibuang jauh dari kehidupan sebenar, namun dalam filem ini saya lakonkan juga watak sebagai isteri muda kepada Shaheizy Sam.
“Bagi saya filem ini memang menarik, lain dari yang lain dan bukan bersandarkan sahaja kepada babak percintaan, filem ini menggabungkan tiga genre iaitu, romantik, komedi dan aksi,” jelasnya.
Bagi Shaheizy Sam pula, walaupun dalam filem ini dia mempunyai dua orang isteri yang cantik, namun realitinya Sam berkemungkinan ingin melangsungkan majlis perkahwinannya apabila genap usia 32 tahun nanti.
Ditanya mengapa memilih usia 32 tahun, katanya pada usia tersebut berkemungkinan besar dia sendiri telah bersedia untuk menjadi seorang suami yang mempunyai tanggungjawab yang sangat besar.
“Saya memilih usia tersebut kerana ketika ini saya masih belum bersedia. Sekarang saya hanya fokuskan kepada kerjaya saya sebagai pelakon, soal kahwin memang saya belum lagi bersedia.
“Bila sudah kahwin nanti, keluarga dah ada dua, saya perlu bahagikan masa, jika kahwin sekarang mungkin perkara seperti itu saya tidak boleh tunaikan sebab saya sangat sibuk dan tempoh saya bekerja hampir penuh satu hari,” jelasnya.
Filem Bini-Biniku Gangster ini diarahkan Ismail Bob Hashim, yang mengisahkan seorang suami yang telah mengahwini dua orang isteri daripada ketua kumpulan gangster yang bermusuhan.
Si suami tidak mengetahui mengenai latar belakang sebenar kedua-dua isterinya itu.
Jadi isterinya akan berperang hanya di belakang suaminya saja. Mereka tidak mahu berdamai sehingga tiba-tiba suaminya hilang.Banyak lagi kejutan di dalam filem ini, saksikan rungkaian sebenar dengan menyaksikan filem hebat ini di pawagam-pawagam berdekatan anda sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: