Tuesday, September 6, 2011

Inovasi jam tangan Citizen


PELBAGAI inovasi baharu yang kerap dihasilkan antara faktor yang menjadikan jam tangan ini cukup popular di seluruh dunia.


MALAYSIA disifatkan antara pasaran terbaik untuk memasarkan jam tangan mewah.

Sejak beberapa dekad lalu, jenama-jenama jam tangan antarabangsa muncul di pasaran tempatan sekali gus membuktikan betapa tingginya permintaan terhadap aksesori masa itu.

Harus diakui, jam tangan yang merupakan satu aksesori uniseks memberikan keterampilan yang profesional bagi seseorang.

Mereka yang memakai jam tangan diterjemahkan sebagai seorang yang berkedudukan tinggi, berkarisma, berpelajaran, mempunyai nilai etika dan dikatakan mempunyai disiplin yang baik.

Semua ciri-ciri itu menjadikan jam tangan dianggap satu elemen penting dalam kehidupan.

Mengulas lanjut mengenai pandangan itu, Pengarah Citizen Watches (Malaysia) Sdn. Bhd., Tadahiro Suzuki mengakui kenyataan tersebut.

Beliau bersetuju dengan fakta yang menyebut Malaysia merupakan antara negara yang memiliki pasaran penting dan terbaik untuk jam tangan mewah.

Teknologi Eco-Drive


TEKNOLOGI Eco-Drive diperkenal sejak tahun 1995.


Ujarnya, Malaysia merupakan negara ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura dan Thailand.

“Di sini (Malaysia) kamu melihat trend penggunaan jam tangan mengikut fesyen semasa.

“Selain dipengaruhi penjenamaan dan pengiklanan, mereka juga peka dengan apa yang dilihat dan diberitahu tentang produk jam tangan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Koleksi Jam Tangan Baharu Citizen, Eco-Drive Super Titanium di ibu kota baru-baru ini.

Apakah kelainan yang dibawa oleh Citizen kali ini? Kata Suzuki, jenama dari negara matahari terbit sebenarnya sudah memperkenalkan beberapa variasi daripada elemen Eco-Drive.

Menariknya kali ini, ia menggunakan logam titanium yang dikatakan lebih ringan tetapi keras.

Suzuki menjelaskan, teknologi Eco-Drive dalam koleksi jam tangan yang terbaharu dan sebelum ini merupakan sebagai salah satu elemen futuristik yang diperkenalkan oleh Citizen.

Untuk rekod, elemen Eco-Drive oleh Citizen diperkenalkan kali pertama di pasaran pada tahun 1995. Ketika itu, jam tangan itu menggunakan tenaga cahaya sepenuhnya.

Teknologi itu kemudiannya dikembangkan kepada beberapa koleksi jam tangan dan yang terakhir ialah Eco-Drive Super Titanium dengan plating ion yang pernah digunakan dalam koleksi sebelum ini.

Tenaga kinetik


TEKNOLOGI Eco-Drive dalam koleksi jam tangan yang terbaharu dan sebelum ini merupakan sebagai salah satu elemen futuristik yang diperkenalkan oleh Citizen.


Ciri-ciri koleksi itu selain 40 peratus lebih ringan daripada besi tidak berkarat bahkan lima kali lebih keras daripada besi ialah kemampuannya menyerap cahaya semula jadi dan lampu menerusi dial untuk disimpan sebagai tenaga, kata Suzuki.

Selain itu, sel solar yang terdapat dalam jam ini akan mengubah tenaga yang disimpan kepada tenaga kinetik sekali gus menjana operasi jam tangan dalam suasana gelap sepenuhnya selama enam bulan.

“Ia memberi kredit kepada alam sekitar apabila jam tidak lagi memerlukan bateri,” ujarnya.

Dengan ciri kalis air sehingga 10 bar iaitu 10 kali tekanan atmosfera dalam laut, model yang diperkenal dengan elemen kronograf itu juga mengekalkan masa seiring dengan fungsi pengiraan tempoh masa (stop watch).

Suzuki turut berkongsi satu lagi jenis jam tangan Eco-Drive Citizen lain yang menggunakan teknologi terhebat di dunia iaitu gelombang satelit.

Katanya, koleksi tersebut mampu mengesan signal satelit di mana sahaja seseorang itu berada. Ia akan memastikan jam tangan beroperasi tanpa henti walaupun pengguna jam tangan itu berada di Gunung Himalaya mahupun di Antartika.

Pada majlis pelancaran baru-baru ini, Citizen melancarkan 17 jenis Eco-Drive Super Titanium untuk tempoh dari bulan Julai hingga Oktober ini.

“Walaupun kelihatan agak kompleks tetapi ia mengekalkan ciri inovasi dan gaya seiring dengan keperluan pengguna, khususnya rakyat Malaysia.

“Memandangkan saya mendapati terdapat saingan untuk menawan pasaran di sini, tetapi saya percaya inovasi yang ditunjukkan Citizen dari semasa ke semasa dengan ciri mesra alam memudahkan Citizen diterima,” ujar Suzuki yang turut memakai jam tangan Eco-Drive Citizen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: