Saturday, September 24, 2011

Hidupkan sejarah Perang Marathon

Pencinta sejarah dari seluruh Eropah, Amerika Utara dan Australia berkumpul untuk merealisasikan acara tiga hari yang penuh dengan lakonan semula pertempuran, kebangkitan semula budaya purba dan acara peringatan.


BIARPUN para peserta tidak seramai yang diharapkan, lakonan semula Peperangan marathon ini tetap dijayakan.


TANPA menghiraukan rembesan peluh di sebalik baju perisai besi yang berat, sekumpulan peminat fanatik arkeologi menghidupkan semula Peperangan Marathon hujung minggu lalu di sebuah kawasan pesisiran pantai yang pernah menyaksikan sejarah Eropah mengalami perubahan dramatik 2,500 tahun lalu.

Kesemua mereka datang dari seluruh Eropah, Amerika Utara dan Australia, semata-mata untuk merealisasikan acara tiga hari yang penuh dengan pertempuran, kebangkitan semula budaya purba dan majlis peringatan di Marathon Bay yang tidak pernah dibuat pada skala besar.

Bagi para pesertanya, ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat diertikan dengan perkataan selepas bertahun-tahun menjalankan persiapan dan harapan yang acapkali tidak tercapai sebelum ini.

"Ia bagai mimpi jadi nyata selepas 10 tahun," kata Hywel Jones, seorang pencetak dari Wales yang datang ke Marathon bersama dengan isterinya, Stephanie untuk menjadi pejuang hoplite iaitu askar zaman purba Greece.

Kebanyakan daripada mereka sebenarnya sudah membelanjakan beribu-ribu dolar bagi kos pengangkutan saja untuk datang ke bandar kecil yang terletak 40 kilometer dari timur laut Athens itu. Marathon terkenal dengan acara larian jarak jauh yang diadakan setiap tahun.

Mereka membawa bersama ahli keluarga, baju perisai buatan tangan dan kelengkapan tambahan yang dihasilkan daripada penat lelah selama bertahun-tahun dengan kos yang bukan sedikit.


SEMANGAT untuk menghidupkan semula momen sejarah ini dipercayai digerakkan oleh para pencinta sejarah yang fanatik terhadap ketamadunan Barat.


"Secara keseluruhannya, semua orang membelanjakan ribuan dolar dari segi kos perjalanan, penginapan, makan sehinggalah peralatan yang disiapkan," kata Christian Cameron, seorang penulis novel Kanada yang juga bekas pegawai tentera laut Amerika Syarikat yang mengepalai persiapan acara itu.

"Apa yang anda lihat hari ini adalah hasil kerja selama 11 tahun. Perbelanjaan yang dikeluarkan adalah berbaloi kerana ini adalah sebuah acara unik. Kami melakonkan semula pengalaman tentera Greek di lokasi Marathon ini," kata Andy Cooper, seorang pensyarah universiti dari wilayah Sheffield, England.

Cooper merupakan anggota persatuan kebangkitan sejarah Britain yang tiba di Marathon dengan beberapa set baju perisai Greek, Parsi dan Scyth.

Kesemua mereka pada awalnya berharap tuan rumah iaitu Greece sendiri sedar ini adalah saat terbaik untuk memperingati ulang tahun ke 2,500 pertempuran di sini yang berlaku pada tahun 490 sebelum Masihi.

Momen sejarah

Kumpulan itu membuktikan hasrat mereka menghidupkan semula momen sejarah itu adalah perkara utama sejak mula lagi. Mereka sanggup membina kem berdekatan 'kawasan pertempuran', tidur di atas katil jerami dan menghidangkan makanan ringkas seperti sayuran, buahan, keju dan air dalam mangkuk dan cawan kayu.

Baju perisai gantian akhirnya terpaksa digunakan disebabkan pembatalan pada saat akhir. Kehilangan sebahagian besar kontinjen dari Bulgaria menyebabkan kekurangan jumlah 'pahlawan Parsi' dengan banyak.

"Kita mungkin dapat menambah 15 lagi pejuang Greek tetapi kekurangan kesatria-kesatria Parsi yang diwakili kontinjen Bulgaria," kata Cameron lagi.


SEORANG peserta yang siap berpakaian purba sedang berehat di salah sebuah khemah di Marathon Bay.


Penganjur pada awalnya berharap seramai 200 orang mengambil bahagian tetapi terpaksa berpuas hati dengan 50 orang wira-wira Greek dan beberapa pemanah Parsi.

Malah, permohonan mereka untuk mendapatkan akses ke makam pahlawan Athena yang maut di kota purba Agora dan Acropolis tidak diluluskan Kementerian Kebudayaan Greek.

Bagaimanapun urusan dengan majlis perbandaran Marathon lebih mudah. Dilengkapi sokongan logistik, kebenaran diberikan kepada kumpulan itu untuk mengadakan upacara peringatan tentera Greek dan Parsi yang maut di monumen kemenangan pertempuran tersebut.

"Rasanya bandar ini mahu kami datang setiap tahun tetapi rasanya tiga tahun lagi baru kami dapat kembali dengan lebih baik.

"Permulaan dengan 50 orang adalah bagus, namun angka 500 peserta ingin kami capai kelak," kata Cameron sambil mengakui kos yang tinggi menjadi kekangan paling besar.

Catatan peristiwa

Sebagai salah satu pertempuran paling terkenal dalam sejarah, Peperangan Marathon adalah antara yang terawal dicatatkan penulis riwayat.

Namanya juga digunakan untuk merujuk kepada acara larian jarak jauh dalam Olimpik pertama pada 1896 sehingga kini. Ia adalah sebagai penghormatan kepada utusan Athens yang dipercayai berlari balik ke bandar itu untuk menyampaikan berita kemenangan tersebut sebelum ia mati kepenatan.

Walaupun hanya penduduk Athens dan Platea yang menentang Parsi dalam pertempuran itu, ia melenyapkan perang-perang antara bandar-bandar lain sekali gus menunjukkan bahawa Empayar Parsi yang merupakan kuasa besar ketika itu mampu ditewaskan.

"Ada yang mempersoalkan bahawa pertempuran ini merupakan usaha orang Greek menjulang ketamadunan Barat. Mereka juga sebenarnya boleh mengatakan yang ia adalah saat peradaban agung Parsi kehilangan kuasa di Barat," ujar Cameron.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: