Wednesday, September 7, 2011

Hantu Bonceng persenda agama?

Di saat filem Hantu Bonceng melakar kejayaan menerusi kutipan RM5 juta dalam tempoh lima hari, timbul kontroversi yang pastinya menggugat senyuman penerbit dan pengarahnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Ada pihak mendakwa filem tersebut mempersendakan agama Islam menerusi dialog dan juga perbuatan pelakonnya.

Antara babak dipersoalkan, pemakaian baju-T tertera perkataan ‘Death Note’ disertakan dengan lambang salib ketika di masjid, mempersendakan azan, kalimah ALLAH dan kepercayaan karut seperti berbogel apabila jumpa hantu diguna pakai dalam filem ini.

Idham dihubungi Sinar Harian, bagaimanapun menyifatkan isu ini hanyalah usaha segelintir pihak yang cuba mencari publisiti di atas kejayaan filemnya.

Menurutnya, individu yang cuba mencari jalan untuk meraih publisiti sebegini selalunya hanya tahu mengkritik dan berkata-kata sahaja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras.

“Filem ini sudah diluluskan untuk tayangan oleh pihak bertanggungjawab termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Sebelum membuat filem ini, saya terlebih dahulu meminta pandangan dan nasihat daripada mereka yang arif seperti ulama dan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi.

“Saya tidak sangka, isu ini boleh timbul dan saya percaya, usaha ini dilakukan mereka yang tidak berpuas hati dengan kejayaan Hantu Bonceng,” katanya.

Menurut Idham, dia tidak pernah menolak menerima pandangan orang lain sekiranya perkara itu benar.

Jelasnya, Hantu Bonceng, digarap dengan elemen komedi santai, serta mempunyai kisah dan mesej tersendiri.



Beri peluang muka baru

Di sebalik nama besar seperti Zizan Raja Lawak, Juliana Evans dan Jue Aziz, filem kelima terbitan Excellent Pictures ini turut membariskan muka baru seperti Taiyuddin Bakar dan Nur Syuhaida Abdul Razak.

Menurutnya, tanggungjawab sebagai penerbit adalah untuk mencipta dan memberi peluang muka baru mempamerkan bakat.

Katanya, jika semua penerbit mahu menjadi pengikut dan mengambil nama besar sahaja, siapa pula harus menjadi pencipta dan penggerak mereka yang hanya muncul dengan watak picisan sebelum ini.

“Saya percaya dengan jenama saya sendiri dan sentiasa melahirkan muka baru dalam filem saya yang seterusnya. tetapi, saya harus berdepan risiko untuk mengambil muka baru ini.

“Selain kejayaan dari segi kutipan, secara tidak langsung Hantu Bonceng telah mempromosikan syarikat produksi saya.

“Apa yang saya nampak kini, fasa pengarahan untuk saya sudah sampai ke penghujungnya. Kini, adalah masa untuk memperkenalkan syarikat kepada masyarakat,” katanya yang bakal muncul dengan filem komedi Jangan Pandang-Pandang.

Selain filem Jangan Pandang-Pandang yang turut membariskan Zizan sebagai teraju utama, filem yang bakal menemui penonton dalam masa terdekat ini ialah filem Mael Lambung.

Mengulas mengenai pemilihan ZIzan sebagai teraju utama, Idham menafikan pemilihan itu berdasarkan populariti Zizan.

“Saya suka dengan sikap Zizan yang bukan seperti kacang lupakan kulit. Saya memilih dia bukan kerana kemenangannya di Anugerah Bintang Popular (ABP).

“Seperti kebanyakan filem saya, saya lebih suka membariskan pelakon baru dan pelakon kurang popular. namun, apabila Zizan bersetuju untuk bekerjasama dengan saya, itu satu bonus,” katanya.

Menurut Idham, walaupun sebelum ini dia pernah kecundang menerusi beberapa filem, namun kegagalan itu dianggap sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan karya lebih bermutu.

Katanya, kegagalan bukanlah titik noktah untuknya sebaliknya pengalaman yang menjadikan dia lebih berhati-hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: