Tuesday, September 6, 2011

Haiza pilih baju kurung kapas


Haiza


MESKIPUN sibuk mengadakan persembahan di Hotel Dorsett Regency, Kuala Lumpur, sepanjang Ramadan lalu, penyanyi Haiza tidak lupa untuk membuat persiapan raya.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Dag Dig Dug itu sempat membeli beberapa pasang baju kurung kain kapas untuk hari lebaran.

Bagaimanapun kata Haiza, ada di antara baju yang dibeli sebelum puasa telah dipakai ketika mengadakan persembahan di hotel berkenaan.

“Walaupun baju raya, tapi kena pakai sebelum waktunya sebab Haiza menyanyi setiap hari di hotel, jadi mana nak cari baju. Baju tajaan hanya hari Sabtu dan Ahad sahaja.

“Lagipun orang bukan tahu baju raya itu Haiza sudah pakai. Sebab itulah waktu membeli baju raya, Haiza cari fesyen kurung yang sesuai untuk acara lain juga,” ceritanya yang beraya di rumah mertua di Melaka.

Selain itu, kata Haiza, dia juga gemar menghantar baju lama kepada tukang jahit untuk ditambah labuci agar kelihatan baru.

Dalam pada itu, sebagai buah tangan untuk keluarga mertua di kampung, Haiza sejak awal sudah menempah kek kukus buatan kakaknya.

Haiza yang merupakan isteri kepada Norhanapfe Omar, 31, berkata, ibu mertua dan ibunya gemar kek kukus buatan kakaknya.

“Kiranya kek kukus kakak Haiza itu wajib dibawa pulang sebab semua orang suka. Memandangkan kakak juga balik kampung, jadi Haiza tidak perlu bersusah payah membeli biskut, sebab tauke biskut ada,” katanya sambil ketawa.

Penyanyi yang nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 31, berkata, selain tat nanas menjadi pilihan utama biskut hidangan raya, dia juga gemar makan rendang daging dan sambal goreng kering.

Menurut Haiza, dia beruntung kerana setiap kali balik raya adik -beradik lain rajin ke dapur.

“Tugas Haiza hanya membantu mana yang patut. Untuk menjadi tukang masak itu, harap maaf takut orang tidak lalu makan pula, biar pakar yang buat,” kata anak keempat daripada lima beradik.

Single baru

Penyanyi yang terkenal dengan irama dangdut menerusi lagu Dag Dig Dug itu kini cuba beralih arah ke genre muzik pop menerusi lagu Marilah Padaku.

Lagu ciptaan Omar K dan Audi Mok serta lirik oleh Zel itu dirakam awal tahun ini dengan wang poketnya menerusi syarikat My Own Entertainment Management.

“Haiza baru selesai rakam klip video lagu Marilah Padaku. Cadangnya lepas raya baru diberi kepada stesen TV. Beginilah kalau rakam lagu dengan bajet sendiri.

“Bagi Haiza biar lambat asal puas hati. Lagu ini tidak ada irama dangdut. Bukan Haiza nak lari daripada irama itu, tapi nak beri kelainan kepada orang ramai bahawa Haiza boleh nyanyi lagu pelbagai irama," katanya yang telah menghasilkan sembilan album berkonsepkan irama dangdut.

Antara album dangdut Haiza adalah Dag Dig Dug...Mana Tahan, Yang No 1, Kompilasi Wajah Wajah Haiza, Tunggu Dulu Sabar Dulu, Haiza Akustika, Semarak Dangdut-Various Artiste dan Dang Dang Dut 3 Various Artiste.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: