![]() |
| |
VENICE 6 Sept. - Aktres Gwyneth Paltrow (gambar) menerima sepucuk surat daripada seorang wanita yang percaya aktres itu secara tidak sengaja telah menyelamatkannya pada hari serangan 9/11 ke atas New York, 10 tahun lalu.
Ketika Amerika Syarikat membuat persiapan untuk memperingati ulang tahun ke-10 serangan 9/11, Paltrow memaklumkan bahawa dia mula menyedari bahawa dia ada kaitan secara langsung dalam tragedi itu.
"Kebetulan, saya telah pergi ke kelas yoga awal sedikit pada hari itu,'' kata bintang Hollywood itu semasa temu bual di Venice untuk membincangkan tentang filem terbarunya Contagion.
''Ketika dalam perjalanan pulang dari kelas yoga pada pagi 11 September itu, tanpa menyedari apa yang akan berlaku pada hari itu, saya terserempak dengan seorang wanita sedang berjalan di seberang jalan dan kami sama-sama berhenti dan kemudian bertegur sapa. Kami berada di situ agak lama juga," kata Paltrow.
Paltrow berkata, dia dan wanita itu kemudian mula bersembang dan ketawa sebelum wanita itu beredar dari situ.
"Sepuluh tahun kemudian, saya menerima surat daripada wanita itu menyatakan bahawa pada hari tersebut, dia terlambat ke tempat kerja kerana berhenti dan berbual terlalu lama dengan saya di situ dan wanita itu kemudian terus menuju ke stesen Lebuh Christoper untuk menaiki kereta api untuk ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) di mana dia bekerja di tingkat 77, Menara Selatan di WTC tetapi dia terlepas kereta api itu.
"Jadi jika kami tidak berhenti dan berbual pada masa itu, dia merasakan kehidupannya pasti akan berlainan," katanya.
Wanita itu turut menggelarkan insiden tersebut sebagai 'Sliding Doors Moment" kata Paltrow merujuk detik tersebut dengan salah satu filemnya yang mengisahkan laluan berbeza yang diikuti sama ada dia sempat menaiki kereta api bawah tanah atau tidak.
"Ia adalah sebuah kisah yang luar biasa bagi saya dan saya terfikir tentang orang lain yang pernah melalui pengalaman serupa seperti itu pada hari kejadian, tetapi merea tidak dapat menceritakan pengalaman itu kerana mereka bukan orang terkenal," kata pemenang Oscar berusia 38 tahun itu.
"Dalam kisah kami, wanita itu kenal saya jadi dia sempat menegur saya. Saya fikir, nasib saya telah berubah sejak hari itu dan jelas saya sangat gembira dan terharu untuk menjadi sebahagian daripada cerita dalam hidup wanita itu." jelasnya
Filem Contagion yang tidak disenaraikan dalam pertandingan utama pada festival filem Venice, akan ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat pada 9 September ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: